Prof Dr Edmund Terence Gomez Malaysian Anti-Corruption Commission’s (MACC) Consultation and Corruption Prevention Panel Azam Baki shares public listed company companies Gets Global KBES Berhad in Excel Force MSC Berhad
Prof Dr Edmund Terence Gomez

KUALA LUMPUR- Ahli akademik, Edmund Terence Gomez mengkritik kerajaan baharu yang tidak mempunyai kekuatan politik untuk melakukan reformasi institusi terutama melibatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Prof. Dr. Edmund Terence Gomez daripada Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, GLC dan GLIC di negara ini sudah lama disalah guna demi kepentingan politik dan mengukuhkan kedudukan parti pemerintah.

Katanya, meskipun Pakatan Harapan telah berjanji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 lalu untuk tidak mengikut langkah Barisan Nasional yang melantik ahli politik dalam GLC dan GLIC namun perkara tersebut masih lagi berlaku.

Pakatan Harapan juga berjanji untuk tidak membenarkan jawatan Menteri Kewangan dipegang oleh Perdana Menteri.

“Mengapa ahli politik masih dilantik (dalam GLC dan GLIC) ketika Pakatan Harapan telah menjadi kerajaan?” soalnya ketika membuat pembentangan di Simposium Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan di Parlimen hari ini.

Profesor yang terkenal lantang itu turut mempersoalkan keputusan kerajaan yang memindahkan dua institusi utama seperti Khazanah Nasional Bhd. dan Permodalan Nasional Bhd. daripada Kementerian Kewangan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Oleh kerana Perdana Menteri tidak boleh menjadi Menteri Kewangan maka dua institusi penting seperti Khazanah dan PNB dibawa keluar (daripada Kementerian Kewangan) dan dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri.

“Mengapa keputusan ini dibuat? (kerana) tiada sempadan yang jelas di antara negara dan perniagaan di samping tiada hubungan profesional.

“Siapa yang membuat keputusan dalam pelaburan?” soalnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan Pengerusi Khazanah Nasional dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah sayap pelaburan negara itu.

Dr. Mahathir juga dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) manakala Azmin pula adalah pengerusi gentian (alternate chairman).

PNB merupakan syarikat pelaburan YPB.

Edmund Terence malah mempersoalkan penubuhan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu sendiri.

“Bukan kita tak cukup kementerian, jadi mengapa wujudkan satu lagi kementerian?

“Bagi saya Kementerian Hal Ehwal Ekonomi ialah Unit Perancang Ekonomi (EPU). Siapa yang putuskan pemindahan ini?” katanya lagi.

Tegas Edmund Terence, struktur adalah sesuatu yang penting di dalam memastikan reformasi institusi seperti yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan sebelum ini dapat dicapai.- MalaysiaGazette