Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Sesiapa sahaja termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh memohon menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Bagaimanapun, belum tentu parti itu akan menerimanya kerana perlu melalui saringan daripada  segi moral, integriti dan rekod.

Presiden penaja parti itu, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu tidak akan mengambil pemimpin atau ahli yang tidak bermoral berada dalam Putra yang mementingkan kebersihan dari semua aspek.

“Dia (Mohamed Azmin) boleh mohon, tapi belum tentu kita akan terima, tapi saya percaya dia tak akan tinggal PKR, cuma dia akan berhempas pulas dalam partinya itu.

“Selain PKR, saya juga ada dengar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), pun ada masalah, cuma belum meletup lagi. Begitu juga Parti Amanah Negara (PAN) dan parti DAP berdepan dengan masalah dua team,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra kali ketiga di sini hari ini.

Beliau berkata, Putra adalah parti bebas dari masalah moral dan menitik beratkan soal integriti dalam kalangan ahli serta pemimpinnya.

“Sekarang ini ada pemimpin parti politik terlibat dengan liwat, semburit dan merogol amah. Maknanya apa yang berlaku ini saya simpulkan sebagai masalah moral.

“Sesebuah parti yang boleh dan akan menerima keredaan Allah adalah parti yang dipilih oleh pemimpin yang bersih. tetapi macam mana pemimpin yang tidak bermoral hendak memimpin parti?,” katanya. – MalaysiaGazette