Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali (tiga kanan) bersama Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Hamidah Osman (tiga kiri) dan Khairul Azam Aziz (dua kiri) bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi PUTRA bergambar kenangan pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi Parti Putra di Kompleks Damai, Jalan Datuk Haji Eusoff, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tetap dengan pendiriannya mempertahankan apa sahaja bentuk dasar ekonomi mesti berteraskan kepada Perlembagaan.

Presiden penaja parti itu, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, Putra sama sekali tidak akan bertolak ansur soal dasar yang berkaitan dengan keperluan orang Melayu dan Bumiputera di bawah Fasa 153.

Katanya, parti itu telah berbincang secara serius kenyataan bakal Perdana Menteri kelapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengumumkan dasar kemakmuran bersama antara semua rakyat.

Beliau berkata, kenyataan itu memberi maksud seolah dasar yang didokong oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengamalkan dasar sama rata.

“Pada saya, kenyataan Anwar ini bersifat politik dan mempunyai agenda politik, manakala Putra pula mendokong dasar asas nasional yang dipersetujui selama ini berasaskan dasar perlembagaan.

“Bagi Putra, hak kaum Bumiputera sama seperti terkandung dalam Perlembagaan. Kita tidak boleh menidakkan dasar hak Bumiputera kerana hak ini ditukar dengan kerakyatan sebelum kita mencapai kemerdekaan lagi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra kali ketiga di sini hari ini.

Dr. Ibrahim mempersoalkan tindakan penganjur Simposium Ekonomi Malaysia semalam, yang mendakwa tidak akan menyentuh hal perlembagaan.

Bagaimanapun, katanya, jika tidak menyentuh, bagaimana mereka boleh melaksanakan dasar itu seperti yang diperkatakan oleh Anwar dalam ucapannya.

Anwar dalam ucapan itu menyatakan, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang melaksanakan satu tindakan afirmatif yang membolehkan dasar ekonomi dinikmati oleh semua kaum dan tidak hanya menguntungkan kepada kaum tertentu sahaja.

Kata beliau, langkah itu perlu dilaksanakan dengan komitmen yang jitu yang turut menuntut penglibatan sektor kerajaan dan swasta.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut memberitahu, kaedah pengagihan atau peruntukan wang dari kerajaan kepada rakyat juga harus berubah, yang mana sedang dilakukan kerajaan pada waktu ini dan sedang dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Jelas Ibrahim, jika dinyatakan soal hak kesamarataan untuk membantu golongan miskin bawah B40 tanpa mengira kaum, parti itu tidak ada halangan.

“Bagaimana dengan pembahagian kek ekonomi negara antara kaum? Tentulah dasar afirmatif akan diteruskan,” katanya.

Beliau mengajak orang ramai menyertai Putra memperjuangkan dasar hak orang Melayu kerana parti itu tdak akan sekali-kali menggadaikan maruah bumiputera.

Katanya, beliau juga keliru dengan kenyataan Anwar kononnya hendak menjalankan dasar baru tetapi langsung tidak menyentuh soal perlembagaan.

“Sebab kalau tinggalkan hak kaum bumiputera ertinya mereka tinggalkan hak bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette