Johor melarang penyembelihan dilakukan dalam premis masjid atau surau.

UMAT Islam Di Negeri Johor Perlu Menerima Pekeliling Majlis Agama Islam Johor Mengenai Larangan Menyembelih Di Kawasan Masjid dengan penuh hikmah dan berfikiran terbuka

Merujuk kepada satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor mengenai Garis Panduan Tempat Penyembelihan Dan Pengurusan Haiwan Korban bertarikh 23 Julai 2019 yang menjadi perbualan dan kontroversi baru-baru ini.

Pekeliling ini menjadi kontroversi kerana ia dibaca dalam nada ‘politik’ dan hati yang tertutup tanpa melihat kepada objektif dan juga matlamat garis panduan itu disediakan.

Seperti yang diterangkan dalam perenggan 2.0 pekeliling tersebut menjelaskan mengenai objektif pekeliling adalah untuk menjaga kebersihan dan kesucian masjid, surau di samping untuk menjaga imej masjid dan surau dengan pandangan dan imej yang kurang disenangi.

Ada beberapa dalil dan hadis menekankan mengenai aspek kebersihan dalam Islam. Sebagai contoh, Surat At Taubah ayat 108 “Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih”. Dalam hadis lain riwayat At Tirmidzi menyatakan, “Kebersihan itu sebahagian dari iman”.

Pastinya, apabila pekeliling ini diluluskan, ia telah melalui satu proses musyawarah yang ketat terutamanya di peringkat Exco Kerajaan Negeri Johor, Majlis Agama Islam Johor dan pihak-pihak yang ahli dalam hal ini.

Maka tindakan sesetengah pihak cuba untuk mengaitkan keputusan ini dengan arahan DYMM Sultan Johor semata-mata adalah tidak benar kerana ia pastinya melalui proses musyarawah yang panjang sebelum diperkenan oleh DYMM Sultan
Johor.

Pun begitu, ia telah pun menjadi amalan sekian lama di Negeri Johor, yang mana proses sembelihan korban ini dilakukan di kawasan selain daripada masjid dan surau iaitu di kawasan rumah, kawasan tanah lapang seperti padang dan sebagainya. Untuk kawasan di bandar pula, ada juga pihak mengusahakan ‘Rumah Sembelihan’ yang tujuannya khas untuk proses penyembelihan di musim Hari Raya Aidiladha atau hari raya korban ini.

Jika dilihat daripada segi dalil Al-Quran dan hadi Nabi S.A.W, tiada juga dimaklumkan bahawa ibadah korban ini ‘wajib’ dilakukan di masjid atau surau. Oleh kerana itu, ia perlulah diberikan panduan seperti pekeliling ini melalui ijmak lama’ para alim untuk memandu umat Islam dalam perkara ini agar ibadah yang kita laku ini dapat berjalan dengan sempurna tanpa ada isu-isu berbangkit.

Juga perlu diingatkan bahawa aspek agama Islam di Malaysia adalah di bawah ruang lingkup dan bidang kuasa negeri dan juga Sultan. Nescaya apa yang diputuskan oleh Majlis Agama Negeri Johor dan yang diperkenankan oleh DYMM Sultan Johor pastinya adalah yang terbaik demi kemaslahatan umat Islam di negeri
Johor.

10. Sebagai rakyat dan umat Islam di negeri Johor, kita perlu sama-sama bermuhasabah diri dan memperhalusi perkeliling ini dengan sikap hikmah dan fikiran terbuka. Janganlah sesekali kita menutup ruang-ruang penambahbaikan daripada
segi amalan ibadat kita semata-mata kerana kita terperangkap dalam zon selesa kita kerana syiar Islam perlu berkembang selaras dengan peredaran zaman.

Iskandar Zulkarnain
Persatuan Pemikir Muda Johor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast