Pengarah Komuniti PKR merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JULAI 2019

PETALING JAYA – PKR hari ini menganggap kenyataan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin yang mempertikaikan perakuan sokongan terhadap Presiden, Datuk Seri Anwar telah selesai.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, parti itu kini mengambil pendekatan tutup buku mengenai dakwaan itu kerana tiada paksaan kepada mana-mana pemimpin untuk menyokong Anwar.

“Kita anggap telah selesai.

“Isu ini tidak timbul kerana kita telah buat satu keputusan untuk move on dan tidak lagi melihat kepada perkara ini kerana rakyat mahukan PKR berikan fokus kepada isu yang dihadapi rakyat pada waktu ini,” katanya menjawab dakwaan Zuraida pada Jumaat lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu mempertikaikan perakuan sokongan terhadap Anwar yang dikeluarkan cabang parti.

Ahli Parlimen Ampang itu turut menyifatkan gerakan itu telah disusun dan tidak semestinya pihak yang menandatanganinya jelas memberikan sokongan kepada Anwar.

“Ingin saya ingatkan bahawa pihak yang menandatangani perakuan sokongan tersebut bukanlah sebenar-benarnya mendokong, tetapi mungkin didorong rasa terintimidasi dan dilakukan atas dasar terpaksa,” kata Zuraida.

PKR Pahang menjadi kumpulan terbaru dalam parti itu yang membuat perakuan sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

PKR negeri yang turut membuat perakuan sokongan terhadap Presiden itu sebelum ini ialah Pulau Pinang, Perak dan Johor. -MalaysiaGazette