Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JULAI 2019.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sudah masuk hari ke-45 akan menyaksikan lebih banyak ‘pendedahan’ daripada saksi penting iaitu bekas pengurus perhubungan AmBank sebentar lagi.

Saksi ke-54 itu, Joanna Yu Ging Ping dijangka ‘diasak’ oleh pasukan peguam bela dalam memberi penjelasan berhubung perbualan dalam telefon BlackBerry milik wanita itu yang telah dirampas dalam sebuah serbuan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2015.

Joanna yang banyak membuat pendedahan bagaimana ahli perniagaan dalam buruan ketika ini, Low Taek Jho atau Jho Low yang banyak memainkan peranan dalam pemindahan transaksi, selain menjadi penghubung serta didakwa memberi arahan tertentu berkaitan dengan akaun Najib.

Selain daripada Jho Low, penglibatan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil yang di antik sebagai pemegang mandat akaun oleh Najib sendiri bagi urusan transaksi ‘AmPrivate Banking-MR’.

Jho Low dan Nik Faisal juga akan memastikan baki akaun itu sentiasa mencukupi bagi mengelakkan tidak ada sebarang ‘cek tendang’ dikeluarkan oleh Najib pada masa itu.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk mengakses baki log perbualan dalam telefon BlackBerry milik Joanna Yu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh yang memohon masa untuk meneliti log berkenaan yang diserahkan pihak pendakwaan pada hari itu.

Ia berikutan pasukan pembelaan mendapati mereka tidak dapat meneliti dokumen yang mengandungi log itu dalam masa 10 minit seperti yang diberi mahkamah pada permulaan prosiding perbicaraan petang Khamis.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram tidak membantah permohonan itu dan mahkamah menangguhkan perbicaraan sementara menunggu pasukan bela meneliti baki perbualan tersebut.

Mohd Nazlan juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar log perbualan itu ditanda sebagai “ID” (Ikatan Dokumen) di mana log itu hanya boleh dirujuk ketika keterangan, tetapi kandungannya tidak boleh dibaca di mahkamah sehingga ia ditanda sebagai bahan bukti.

Khamis lalu juga, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dikejutkan dengan dakwaan terdapat ancaman bom menyebabkan seluruh bangunan terpaksa dikosongkan bagi tujuan pemeriksaan pada pukul 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S. Shanmugamoorthy berkata anggota polis di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali mendakwa terdapat bom di dalam bangunan itu kira-kira pukul 11 pagi.

Bagaimanapun setelah bangunan mahkamah diperiksa, Shanmugamoorthy memberi jaminan ianya selamat daripada sebarang ancaman.

Beliau juga menolak spekulasi panggilan itu ada kaitan dengan perbicaraan berprofil tinggi SRC International.

Perbicaraan dijangka bermula di hadapan Hakim Mohd Nazlan sekitar jam 9.15 pagi. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast