Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mahu Tun Dr. Mahathir Mohamad kekal sebagai perdana menteri sehingga berakhir penggal sebagai perkembangan positif.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini memandangkan peralihan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh dua tahun sebagai konsesus Pakatan Harapan (PH).

Katanya, konsesus itu menyebabkan pemimpin kerajaan dan PH tidak berani memberikan sokongan kepada Mahathir supaya terus berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Jika Mohamed Azmin sendiri telah mengakui keperluan untuk mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri, amat patut sekali PH selaku teraju kerajaan mempunyai konsensus baharu mengenai perkara ini.

“Sesungguhnya sokongan semua parti terhadap Mahathir dan pengekalannya sebagai perdana menteri sehingga berakhir penggal amat penting bagi menjamin kestabilan ekonomi dan politik negara,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohamed Azmin hari ini dilaporkan berkata, jaminan bahawa  Mahathir perlu diberikan mandat sehingga akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya UMNO yang menyokong Dr. Mahathir.

Katanya, sokongan itu juga bukti keyakinan terhadap kepimpinan perdana menteri yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara.

Menurut Mohd Khairuddin, jika gabungan pembangkang boleh memberikan sokongan kepada Mahathir, PH patut berjiwa besar dan bersikap objektif mengenainya. – MalaysiaGazette