KUALA LUMPUR – Datuk Fu Ah Kiow yang pernah mengajar Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru berkata, Raja Permaisuri Agong merupakan murid yang mesra dan bergaul rapat dengan pelajar lain.
Ah Kiow yang juga bekas Ahli Parlimen Kuantan berkata, walaupun beliau sudah lama meninggalkan dunia pendidikan, tetapi Raja Permaisuri Agong masih memanggilnya cikgu, keadaan yang menyebabkannya sedikit segan.
Ah Kiow juga mengenangkan satu pertemuan dengan bekas pelajarnya yang diadakan pada tahun 2000 yang juga dihadiri Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
“Baginda dengan gembiranya bertegur sapa dan memanggil saya sebagai cikgu.
“Semasa menjadi Ahli Parlimen Kuantan, saya juga bertemu dengan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam acara-acara rasmi di istana dan baginda juga memperkenalkan saya sebagai cikgu dalam program-program rasmi tersebut.
“40 tahun sudah berlaku, tetapi baginda masih memperkenalkan saya kepada orang lain dengan memberitahu saya ialah cikgu baginda,” katanya kepada Sinchew Daily.
Menurut Ah Kiow, semasa di Sekolah Tun Fatimah, beliau ditugaskan untuk mengajar Matematik dan Fizik, mata pelajaran yang kurang diminati oleh Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menariknya, baginda sendiri pernah mengakui tidak minat subjek Sains malahan memberitahu kepada media pernah memalsukan tandatangan ayahanda pada kad laporan kerana pencapaian yang kurang memuaskan dalam mata pelajaran tersebut.
Ditanya mengenai insiden pemalsuan tandatangan itu, Ah Kiow berkata, beliau tidak ingat berlaku kejadian itu.
Ah Kiow bagaimanapun masih ingat baginda sebagai pelajar yang ramah serta tidak menunjukkan gaya sebagai puteri. – MalaysiaGazette