KUALA LUMPUR – Bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu tidak begitu pasti siapakah sebenarnya pemilik akaun AmPrivate Banking-MR sama ada Datuk Seri Najib Razak atau Jho Low.
Joanna yang juga merupakan saksi ke-54 dalam perbicaraan SRC International melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta itu menyebabkan mereka yang ada dalam bilik prosiding termasuk Najib tergelak.
Sebelum itu, peguambela, Harvinderjit Singh bertanya siapakah sebenarnya yang digelar big bos oleh Jho Low kepada Joanna dalam perbualan Blackberry Messenger (BBM) antara mereka.
Harvinderjit: Terangkan, pada 30 Mei 2014, Jho Low ada menghantar pesanan kepada anda dengan mengatakan ’50 pai Amerika akan masuk’.
Joanna: Benar. Dia kata big boss telefon.
Harvinderjit: Siapa big boss ini sebenarnya?
Joanna: Saya rasa pemilik kepada akaun ini (Najib).
Harvinderjit: Bukankah big boss ini adalah Jho Low? Kerana pemilik akaun dia akan gelar MNR bukan?
Joanna: Saya sendiri tidak pasti siapakah sebenarnya big boss ini.
Keseluruhan prosiding kemudiannya ketawa dengan jawapan Joanna.
Dalam pada itu, Joanna mengakui bekas Ketua Eksekutif SRC International yang kini telah menghilangkan diri, Nik Faisal Ariff Kamil pernah memberitahunya bahawa dia hanya sekadar ciku sahaja.
Bagaimanapun, Joanna tidak bersetuju dengan kenyataan Nik Faisal tidak berperanan apa-apa.
Harvinderjit juga dilihat ‘mengasak’ Joanna bagi membuat pengakuan Jho Low merupakan individu sebenar yang mengendalikan akuan peribadi Najib secara keseluruhannya.
Rumus Harvinderjit, hampir setiap transaksi dilakukan atas arahan oleh Jho Low dan separuh daripada rumusan itu diakui oleh Joanna.
Harvinderjit: Saya cadangkan, Jho Low yang mengendalikan akuan-akuan ini.
Joanna: Dia adalah penghubung kepada pemilik akaun (Najib) mahu pun pemegang mandat (Nik Faisal).
Harvinderjit: Itu bukan soalan saya. Kebanyakan transaksi dilakukan atas arahan Jho Low.
Joanna: Benar. Semua pindahan juga diaturkan oleh Jho Low dengan penghubungnya Nik Faisal.
Harvinderjit: Pemindahan antara akaun juga diluluskan oleh Jho Low. Nik Faisal hanya menandatangani draf yang anda emel kepadanya.
Joanna: Tidak selalu.
Mahkamah ditangguhkan sehingga Rabu ini dengan Joanna terus disoal balas oleh pasukan peguambela. –MalaysiaGazette