Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas nekad untuk mengambil alih semula pentadbiran Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan PH yang diterajui empat parti komponen iaitu DAP, PPBM, PKR dan PAN ternyata gagal membawa harapan baharu kepada rakyat walaupun sudah setahun memerintah.

Sebagai kerajaan yang gagal, sewajarnya UMNO dan Pas bakal menjadi pengganti untuk mengurus negara ini dengan lebih baik, di samping meneruskan agenda menjaga kebajikan rakyat, katanya.

“PH dah terbukti gagal. Kegagalan ini tidak perlu diragui lagi, rakyat sudah pun membuat penilaian dan keputusan bahawa PH adalah sebuah kerajaan yang gagal.

“Bukan sahaja gagal dari segi menunai janji, (tetapi) gagal mengurus dan mengangkat negara kepada kedudukan yang lebih baik, baik dari segi pertumbuhan ekonomi, nilai mata wang, kestabilan mahupun politik itu sendiri,” katanya yang dipetik Umno-online.my hari ini.

Beliau dilaporkan berkata demikian ketika berucap pada program ceramah perdana, Islam Memimpin Perpaduan di Bandar Baru Salak Tinggi, malam tadi.

Menurut Annuar, memandangkan PH tidak boleh lagi membawa harapan bagi Malaysia, maka UMNO dan Pas sebagai parti tertua di negara ini mesti mengambil tanggungjawab itu.

Kata beliau, kedua-dua parti paling lama itu telah terlibat bagaimana menguruskan kemerdekaan dan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk.

“Kita yakin UMNO dan Pas boleh menampilkan formula serta gagasan yang lebih baik bagi seluruh rakyat,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 yang lalu telah membawa hikmah besar iaitu penyatuan dengan Pas.

“Kita terima kekalahan sebagai ujian Allah, barangkali ada hikmah lebih besar. Allah nak ingatkan kita kerana kita berpolitik hingga lupa politik itu adalah kerangka ibadah dan harus dipandu berpandukan apa yang ada dalam al-Quran dan hadis.

“Kita terlupa dan hanya nampak permainan kuasa sehinggakan persengketaan antara UMNO dan Pas tidak ada cara untuk dipulihkan.

“Akhirnya kerana tiada keupayaan untuk UMNO dan Pas bersatu, maka Allah tolong. Tolong yang bagaimana? Allah bagi (BN) kalah,” katanya.

Mengenai penyatuan kedua parti itu, Annuar yang merupakan Ahli Parlimen Ketereh berkata, UMNO menerima Pas bukan kerana disuruh oleh sesiapa, tetapi kerana perintah Allah.

“Kenapa kita bergabung? Bukan kerana disuruh oleh Zahid (Datuk Seri Zahid Hamidi) atau disuruh oleh Najib (Datuk Seri Najib Razak), tetapi kerana perintah Allah. Kita tidak mahu terus duduk dalam keadaan sombong.

“Kita terima kesalahan, kelemahan dan kesilapan kita… kita berpegang teguh pada tali Allah untuk jangan lagi berpecah-belah.

“Ini (penyatuan) bukan agenda UMNO dan Pas… ini adalah agenda ummah, agenda orang Islam Melayu dengan mengambil kira kebertanggungjawaban kita kepada sahabat bukan Melayu. Kita ambil tanggungjawab membela Islam dan bukan Islam,” katanya. – MalaysiaGazette