Suria (empat dari kanan) bersama AJK dan Biro Politik Wanita UMNO Bahagian Pasir Mas membuat laporan polis terhadap individu bernama Wendy Loong.
Suria (empat dari kanan) bersama AJK dan Biro Politik Wanita UMNO Bahagian Pasir Mas membuat laporan polis terhadap individu bernama Wendy Loong.

KUALA LUMPUR – Hampir seminggu berlalu, belum ada apa-apa perkembangan terkini diambil ke atas pemilik akaun Wendy Loong yang menghina Nabi Muhammad dan agama Islam.

Justeru, Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Pasir Mas, Kelantan, menggesa pihak berkuasa segera menyelesaikan kes berkenaan dan membawa individu terbabit ke muka pengadilan.

Menurut Naib Ketuanya, Suria Mat Nor, walaupun beratus laporan polis telah dibuat di seluruh negara sejak Selasa lalu, belum ada tangkapan atau penahanan dilakukan ke atas pelaku terbabit.

Katanya, sehingga kini individu yang memakai nama Wendy Loong yang bertanggungjawab memuatnaik posting menghina Nabi Muhammad masih bebas.

“Kita tahu pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan, tetapi kelewatan menahan atau menangkap pelaku terbabit menimbulkan rasa resah dalam kalangan umat Islam.

“Lebih lagi sejak kebelakangan ini pelbagai persepsi tersebar dalam media sosial terutama laman sosial Facebook berhubung status individu terbabit,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sebelum itu, beliau bersama Ahli Jawatankuasa dan Biro Politik Pergerakan Wanita UMNO Bahagian membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.

Dalam laporan yang dibuat kira-kira jam 3 petang itu, Suria menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) segera mengheret pelaku terbabit untuk didakwa di mahkamah atas kesalahan menghina agama Islam. – MalaysiaGazette