BRASILIA – Sekurang-kurangnya 52 orang banduan maut dalam pertempuran kumpulan selama lima jam di Penjara Altamira, di Para.
Kejadian berpunca selepas anggota geng dari satu blok penjara lain menyerang bahagian lain dalam penjara tersebut.
Seramai 16 orang mati akibat dipenggal dan selebihnya diseksa selepas sebahagian daripada penjara dibakar.
Dua pegawai penjara yang dijadikan tebusan telah dibebaskan.
Keganasan bermula kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan (10:00 GMT), dan berakhir pada tengah hari, kata pihak berkuasa.
Anggota geng Comando Classe A (CCA) membakar sebuah sel yang menempatkan pesaing mereka Comando Vermelho.
Struktur sel menyebabkan api marak dengan pantas, mengakibatkan kebanyakan banduan sesak nafas.
Tidak ada amaran atau tanda awal serangan yang akan berlaku pada skala ini, kata Kerajaan Negeri Para dalam satu kenyataan.
Penjara Altamira itu sebenarnya mampu memuatkan 200 orang banduan tetapi terlebih kapasiti kepada 309 orang.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menafikan faktor lebihan kapasiti sebagai punca kejadian tersebut,
Pihak berkuasa sedang mengenal pasti pemimpin kumpulan geng yang terlibat untuk membolehkan individu berkenaan diasingkan.
Kejadian keganasan dalam penjara di Brazil bukan luar biasa kerana negara itu mempunyai populasi penjara ketiga terbesar di dunia iaitu 700,000 orang
Lebihan kapasiti banduan dalam penjara sering menjadi masalah dan pergaduhan antara kumpulan jenayah pula sering berlaku. – MalaysiaGazette