Sofi Jikan

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan ke atas pelakon KL Gangster, Mohamad Shofi Jikan selepas didapati bersalah atas kesalahan dadah, tahun lalu.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh yang juga dikenali sebagai Sofi Jikan selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Selepas meneliti dan menilai keterangan dikemukakan pihak pembelaan dan melihat secara keseluruhan dan membaca hujahan pendakwaan dan pembelaan, kamu, Mohamad Shofi Jikan didapati bersalah dan dihukum penjara 12 bulan,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga masyarakat umum agar tidak melakukan kesalahan sama.

Sofi Jikan, 49, yang diwakili oleh peguam Datuk Haniff Hassan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya penanggung utama keluarga dan ini merupakan kesalahan pertamanya.

“Anak guam saya juga giat melakukan kerja-kerja kebajikan, selain sudah insaf atas kesalahan itu,” katanya dan menambah Sofi Jikan juga memberi kerjasama sepanjang tempoh siasatan dan perbicaraan dijalankan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini selain diperintah berada di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama tiga tahun.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan terhadap keputusan itu difailkan dengan menaikkan jaminan daripada RM3,000 kepada RM9,000.

Seramai lima saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu Sofi Jikan sendiri memberikan keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pada 13 Feb tahun lepas, Sofi Jikan didakwa menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya pada jam 11.15 malam, 6 Feb 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 13 Mei lalu, pelakon itu diperintah membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mahkamah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

— BERNAMA