Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mendesak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad  menukar Menteri Besar Perak yang lebih positif dalam membela rakyat berbanding Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang didakwa bersifat anti-Orang Asli.

Ini kerana, Ahmad Faizal langsung tidak mahu mendengar keluhan rakyat, jauh sekali untuk berunding bagi menyelesaikan suatu isu berbangkit.

Sebaliknya, Pengerusi JPOAJ, Dolah Tekoi mendakwa, Ahmad Faizal lebih suka berkonfrontasi.

Setiap hari, Menteri Besar Perak itu didakwa hanya keluarkan kenyataan yang tidak membina tetapi lebih kepada kontroversi terutama dalam isu tanah adat Orang Asli.

“Kenyataan-kenyataan sebegini sudah pasti akan mengundang kebencian rakyat terutama pengundi Orang Asli kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kami percaya ia bukan disebabkan oleh kelemahan undang-undang tubuh kerajaan Perak, tetapi lebih kepada sifat peribadi beliau yang sombong, namun ia tetap menggambarkan pendirian Kerajaan Negeri kerana dia seorang Menteri Besar,” ujar aktivis Orang Asli itu.

Dolah yang amat kecewa dengan kepimpinan Ahmad Faizal berkata, pihaknya menjangka kedudukan Orang Asli akan menjadi lebih baik dibawah PH tapi sekarang sudah jadi sebaliknya.

“Malah saya sangat meluat dengan janji yang dicanang semasa pilihanraya yang lalu yang kononnya mahu membela nasib Orang Asli,” katanya. – MalaysiaGazette