Razali Zakaria (tiga dari kiri) dan Mohd Noor (dua kanan) menunjukkan laporan polis berhubung penularan fitnah ke atas Mujahid dan fitnah wanita FB 1Malaysia Tolak DAP terhadap laporan forensik kes rogol di Perak di hadapan IPD Dang Wangi pagi tadi.Foto: MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa supaya menyiasat segera seorang wanita yang dikatakan bertanggungjawab menyebarkan fitnah bahawa laporan forensik siasatan kes rogol melibatkan seorang Exco Perak dihilangkan polis.

Gerakan Memartabat Pejuang Negara(GMPN) mendakwa wanita itu menyebarkan fitnah menerusi akaun Facebook bernama 1Malaysia Tolak DAP itu adalah dari sebuah parti komponen pembangkang, Barisan Nasional.

Pengerusinya Mejar (B) Razali Zakaria berkata, kenyataan: “Laporan forensik kes rogol exco Perak dilaporkan hilang ada tanda tangan ghaib kah yang mengarah laporan forensik tersebut” itu satu fitnah yang mencalar dan mengugat imej dan kewibawaan polis.

Ujarnya, polis tidak boleh bertolak ansur dengan ‘posting’ yang disyaki daripada wanita dari parti MCA itu dengan kenyataan yang seolah-olah menunjukkan wujud penyelewengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam siasatan kes rogol yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

“Kita memandang serius fitnah berkenaan, pada hal laporan forensik siasatan kes rogol pemimpin Perak itu masih dalam siasatan polis dan pelaksanaan serta tidak hilang seperti yang ditular individu itu.

“Fitnah laporan forensik dihilangkah dengan penglibatan tangan ghaib orang beri arahan adalah satu fitnah jahat yang mencemarkan imej dan kewibawaan polis serta tercabar.

“Maka kami tampil buat laporan sebagai mendesak polis bertindak ke atas individu wanita yang fitnah laporan forensik hilang kononnnya dan tindakan tegas perlu di bawah Seksyen 23 A Akta Hasutan 1946 dan Kanun Keseksaan 499,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

Tambahnya, perbuatan menyebarkan fitnah yang melibatkan kehilangan laporan forensik itu disedari sejak 29 Julai lalu dan perkara tersebut telah dilaporkan beberapa media cetak dan portal dalam talian semalam.

Menurutnya, Ketua Polis Perak juga sudah mengesahkan tidak ada unsur menghilangkan laporan forensik dan laporan polis juga telah dibuat bagi pihak pegawai keselamatan tertinggi negeri itu.

“Kami berharap PDRM telus dan tegas dalam perkara ini supaya orang ramai tidak sukahati menghina dan mempertikai kewibawaan polis.

“Saya difahamkan status yang ditular wanita itu sudah tiada sekarang dikhuatiri dipadamkan oleh individu itu, tetapi saya tahu polis dan SKMM mempunyai kaedah untuk mencari dan mendapatkan semula bahan yang dipadam itu untuk membolehkan wanita itu disiasat segera,” tegasnya.

Malah beliau bersama Pengerusi NGO Prihatin, Datuk Mohd Noor Ali Akbar membuat laporan berhubung fitnah yang mengaitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.

Kedua dua mereka mendakwa akaun Facebook bernama Khusairi Talib yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Slim, selaku Ketua UMNO Bahagian Tanjung memuat naik gambar Mujahid dengan tulisan berbaur hasutan agama.

Akaun Facebook itu mengeluarkan kenyataan: “Selepas ini sesiapa sahaja individu boleh menghina apa sahaja agama karana perbuatan ini sudah diklasifikasi oleh menteri agama kepada kes terpeincil dan tidak perlu ambil sebarang tindakan jangan ada mana mana pihak terasa hati”.

“Menteri sebenarnya tidak pernah keluarkan kenyataan seumpa seperti yang didakwa pemilik akaun FB tularkan dan ini satu dakwaan sangat serius,” kata Razali.

Mohd Noor pula mahu tindakan tegas polis menyusul kerana sudah wujud budaya atau trend yang mana memfitnah menjadi amalan hakiki orang ramai tanpa rasa takut dan bersalah.

Menurut beliau, sebagai NGO dan rakyat, pihaknya merasakan terdapat tanggungjawab untuk melindungi dua badan utama iaitu PDRM kerana ia adalah satu-satunya pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara serta rakyat.

Selain itu, Kabinet kerajaan juga perlu dilindungi, katanya.

“Fitnah terhadap menteri agama adalah fitnah tidak berasas sedangkan menteri tak pernah bercakap begitu.

“Hasutan fitnah itu mungkin akan membawa kepada perkara lain yang tidak diingini dan kita harapkan jangan terjadi seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah semalam semasa pertabalan baginda.

“Kami merasakan kerja-kerja fitnah harus dipandang berat PDRM dan SKMM kerana kalau tak dibendung sekarang anak cucu cicit kita merasa tempiasnya kerana semua akan sesuka hati tulis fitnah tanpa fakta benar,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast