Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak cadangan agar undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, cadangan berkenaan tidak munasabah dan menghina golongan wanita.

Cadangan yang dibuat oleh Senator Mohamad Imran Abd Hamid itu juga memberi gambaran bahawa golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga boleh terlibat dengan perbuatan keji.

“Adalah lebih molek sekiranya kita memfokuskan terhadap agenda memartabatkan wanita dengan memperkasa undang-undang dalam menolak sebarang serangan seksual terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan dan meminta Mohamad Imran menarik balik cadangan tersebut.

Mohamad Imran ketika membuat cadangan itu semalam mahu satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki diwujudkan daripada akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh menyebabkan kaum lelaki tergoda.

Akibatnya ia boleh mendorong kepada sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya, kata Senator PKR itu.

Beliau memberitahu Dewan Negara, cadangan berkenaan bertujuan supaya golongan lelaki selamat dan negara aman..

Beliau mengemukakan cadangan itu kepada menteri agama Mujahid Yusof Rawa ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019. – MalaysiaGazette