Saksi yang merupakan bekas Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Pasukan peguam bela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang sedaya-upaya membuktikan peranan yang dimainkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam perbicaraan SRC International melibatkan penyewelengan dana sebanyak RM42 juta.

Malah,keterangan saksi ke-54 yang juga merupakan Pengurus Perhubungan  AmBank, Joanna Yu Ging Ping seolah-olah dapat membuktikan Jho Low mempunyai keupayaan untuk manipulasi akaun Ambank Najib.

Joanna juga mendedahkan, dirinya sendiri tidak pasti siapa sebenarnya ‘big boss’ antara Najib dengan Jho Low kerana banyak arahan sebenarnya dikeluarkan oleh Jho Low sendiri.

Walaupun sebenarnya Najib telah melantik pemegang mandat untuk akaun peribadinya iaitu bekas Ketua Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil bagi urusan transaksi serta perbankan.

Jho Low dalam keterangan Joanna malah saksi sebelum ini juga dilihat ‘dominan’ dalam memberi arahan serta teguran pada bila-bila masa kepada saksi-saksi Ambank itu.

MGF01082019_Mahkamah Najib_03
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 OGOS 2019

Joanna juga ada memberitahu, Jho Low lebih ‘senang’ dirujuk dan dicari jika hendak dibandingkan dengan Nik Faisal, malah lelaki itu yang kini telah menghilangkan diri itu seringkali memberi gambaran dirinya hanya ‘ikan bilis’.

Ada juga pendedahan bahawa Jho Low mendesak Joanna supaya tidak menggunakan e-mel rasmi AmBank untuk menghantar draf surat arahan kepada Nik Faisal sebaliknya meminta menggunakan Google Mail (Gmail peribadi Joanna) mengenai arahan pergerakan wang antara akaun.

Harvinderjit juga membuat andaian bahawa Joanna telah mengajar Nik Faisal mengenai apa yang harus ditulis kepada bank berhubung operasi mengenai akaun bank Najib yang kemudian di akui sebagai benar oleh saksi wanita itu.

Selain itu, Joanna juga bersetuju dengan pandangan Harvinderjit bahawa adalah satu kesalahan jenayah untuk berurusan dengan ‘pihak ketiga’ yang dalam perkara ini jelas sekali Jho Low yang bukan pemilik mahupun pemegang mandat ketiga-tiga akaun peribadi Najib.

Banyak maklumat berjaya ‘dikorek’ oleh peguam bela, Harvinderjit Singh berikutan adanya log perbualan mesej Blackberry Messenger (BBM) antara Joanna dengan Jho Low dan individu lain berhubung transaksi akaun peribadi Najib.

Semalam Joanna membuat kejutan apabila memberitahu dirinya terpaksa mendahulukan wangnya sendiri sebanyak RM55,000 sebelum dibayar kembali oleh Setiausaha Jho Low, Josie bagi memastikan cek dikeluarkan oleh Najib tidak di tendang.

Ketika diasak Harvinderjit, Joanna mengakui tentang dakwaan berkemungkinan besar Najib benar-benar menyangka RM42 juta yang masuk ke dalam akaun peribadinya pada Disember 2014 dan Februari 2015 adalah wang derma.

Perbicaraan di jangka di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bermula sekitar 9.15 pagi ini dengan menyambung soal balas Joanna dan Harvinderjit yang juga sudah masuk hari ke-47 dengan saksi memberikan keterangan lebih seminggu sejak Isnin minggu lepas.

Peguam bela dijangka akan menyoal dengan lebih mendalam tentang perbualan BBM melibatkan Jho Low serta arahan transaksi dilakukan olehnya hari ini. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/31/joanna-panik-guna-duit-sendiri-rm55000-supaya-cek-najib-tidak-ditendang/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/07/31/saksi-sedar-tidak-sepatutnya-berurusan-dengan-jho-low-bukan-pemilik-akaun/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast