Ketua Jurulatih JDT II, Ervin Boban.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Ervin Boban ingin memastikan saingan Piala Cabaran terus menjadi landasan terbaik untuk menguji kualiti pemain-pemain muda bagi memastikan prestasi mereka sentiasa berada pada tahap terbaik sebelum melangkah ke fasa lebih tinggi.

Jelasnya, piala itu adalah pentas cukup penting buat JDT II yang memiliki ramai pemain muda untuk diketengahkan kerana ia saingan kompetitif selain beraksi di Liga Perdana.

“Semua orang tahu JDT II adalah pasukan pembangunan di mana skuad ini adalah tempat untuk pemain-pemain muda mendapat platform ketengahkan bakat mereka.

“Sebelum ini kita pernah mengetengahkan pemain Ramadhan Saifullah, Awang Faiz Hazziq dan ramai lagi untuk kita letak pemain-pemain muda ini dalam akademi.

“Harapan saya sebagai jurulatih, menerusi Piala Cabaran, kualiti permainan mereka akan lebih meningkat dan mahu lihat lebih ramai pemain lain yang belum membuktikan apa-apa di saingan Liga Perdana untuk buktikan sesuatu di pentas Piala Cabaran,” katanya.

Dalam saingan kali ini, JDT II mensasarkan untuk mara ke final di mana ia sedikit sebanyak mampu menjadi pengubat kekecewaan selepas penurunan prestasi JDT II di penghujung musim dan menamatkan saingan Liga Premier 2019 selaku naib juara di belakang Sabah.

Boban menggesa anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang sepertimana yang dilakukan pada permulaan musim sebelum mengalami fasa sukar apabila merekod beberapa kekalahan berterusan yang menjejaskan peluang mereka muncul juara Liga Premier.

JDT II diundi dalam kumpulan A yang menyaksikan mereka bakal berentap bersama Kelantan dan Sarawak.

“Saya memang berharap pasukan dapat memberikan aksi sebaik mungkin di mana ketika ini saya juga masih mencari punca sebenar mengapa prestasi menurun dalam beberapa perlawanan pada penghujung Liga Premier, tidak seperti pada awal musim.

“Saya akan pastikan strategi yang lebih baik dan harap mereka semua dapat mengikut perancangan bagi memastikan impian muncul juara Piala Cabaran musim ini dapat tercapai,” kata bekas pemain import Johor itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast