KUALA LUMPUR – Perodua telah berjaya mengurangkan masa menunggu bagi Aruz antara 1 bulan dan 1.5 bulan bergantung kepada model berbanding kira-kira antara 2 bulan dan 2.5 bulan sebelum ini berikutan peningkatan dari segi pengeluaran.
Berikutan itu, Perodua menganggarkan pencapaian jualan Januari hingga Julai mencapai 140,900 unit untuk semua model, yang mana setanding dengan 140,900 unit dari tempoh yang sama tahun lepas.
Aruz menjual 17,989 unit antara Januari dan Julai tahun ini.
Tempoh menunggu itu berjaya diatasi dengan menambah baik proses pengeluaran, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad.
“Kami akan terus menumpukan kepada kualiti dan penghantaran seperti mana keutamaan kami kepada pelanggan yang dihargai. Kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan sehingga Aruz menjadi SUV yang paling popular di Malaysia,” katanya di sini.
Beliau berkata, Perodua akan mengekalkan sasaran jualannya sebanyak 235,000 unit menjelang akhir tahun ini, peningkatan sebanyak 3.4 peratus daripada 227,234 unit yang dijual pada 2018.
Peningkatan sasaran jualan ini adalah untuk memenuhi permintaan yang tinggi untuk semua model semasanya.
Jumlah sasaran pengeluaran untuk 2019 telah ditingkatkan kepada 249,000 unit, penambahan 2.9 peratus daripada sasaran sebelumnya iaitu sebanyak 242,000 unit.
Pada masa ini, tambah Zainal, kedua-dua loji pembuatan beroperasi pada kapasiti 97 peratus. – MalaysiaGazette