Dr. Ahmad Yunus Hairi
Dr. Ahmad Yunus Hairi

SHAH ALAM – Selain isu gangguan bekalan air yang tidak pernah selesai, kerajaan Selangor juga dikatakan gagal melunaskan janjinya untuk memberikan air percuma kepada golongan B40.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi berkata, berdasarkan apa yang diperuntukan dalam belanjawan negeri tahun ini, kerajaan negeri menjanjikan air percuma sebanyak 25 meter padu kepada rakyatnya yang dikategorikan B40.

Kata beliau, menteri besar sendiri berjanji akan melaksanakan program itu pada suku pertama 2019, namun kini sudah masuk suku ketiga, bekalan air percuma belum berjalan.

“Program air percuma 20 meter padu setiap bulan mula dilaksanakan kepada seluruh rakyat Selangor sejak tahun 2008 lagi, yang diberikan tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, agama dan fahaman politik.

“Namun, program subsidi tersebut telah diselaras dan diberi hanya kepada golongan B40 bermula tahun 2019, tetapi dengan syarat mesti berdaftar dan mempunyai profil data dalam senarai e-Kasih.

“Oleh itu, tidak sukar untuk kerajaan negeri melaksanakan inisiatif tersebut dengan cepat,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Dr. Ahmad Yunus, berdasarkan maklumat diperolehi sehingga Julai lalu seramai 1.6 juta pemegang akaun layak untuk diberikan bantuan.

Bagaimanapun, ujar beliau, janji pemberian air percuma itu belum dilunaskan, sekali gus menunjukkan kelemahan kerajaan negeri dalam mengutamakan kepentingan rakyat khususnya golongan B40.

“Pelbagai isu air belum diselesaikan secara tuntas oleh kerajaan negeri sejak konsesi diambil alih pada tahun 2018,” katanya.

Sehubungan itu, Pas Selangor mendesak subsidi itu disegerakan dan mahu semua pihak memfokuskan kepada agenda kebajikan rakyat melangkaui daripada isu pertikaian dalaman parti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast