Wakil media dari 11 negara tekun mendengar taklimat mengenai persiapan Haji 2019.

JEDDAH – Seramai 30 wakil media dari 11 negara dan tentunya peluang MalaysiaGazette serta Sinar Harian menyertai liputan program persiapan haji 2019 anjuran Kementerian Media Arab Saudi umpama bulan jatuh ke riba.

Segala-galanya berlaku dengan pantas. Bermula dari proses dokumentasi hinggalah ke daftar masuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan tiba di Jeddah, semuanya diuruskan kementerian yang berkenaan.

Malaysia yang diwakili masing-masing oleh Mohamad Radzuan Hassan (MalaysiaGazette) dan Mohd. Hanafiah Hashim (Sinar Harian) menyertai wakil media Arab Saudi, Mesir, Indonesia, Pakistan, Afghanistan, Sudan, Nigeria, Turki, Tunisia, UAE dan India.

Menariknya, program atas jemputan kerajaan Arab Saudi ini turut disertai satu-satunya wartawan wanita iaitu Hafsa Abu Bakar dari Nigeria.

hafsa
Hafsa Abu Bakar

Semalam bermula program rasmi apabila semua wakil media dibawa melihat sendiri proses kemasukan jemaah haji dari seluruh dunia di Terminal Haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Jeddah.

Pastinya peluang menyaksikan sendiri proses ketibaan jemaah haji dan layanan istimewa yang diberikan oleh para petugas menjadi satu peluang keemasan bagi kumpulan media kerana bukanlah sesuatu yang mudah untuk menyantuni kemasukan lebih tiga juta jemaah haji dari pelbagai negara.

Ternyata kerja keras dan inisiatif kerajaan Arab Saudi melakukan penambahbaikan dari tahun ke tahun semakin membuahkan hasilnya apabila semakin ramai umat Islam berpeluang mengerjakan ibadah haji dengan pelbagai kemudahan disediakan.

Tentunya amat mengujakan apabila petugas media turut dibawa meninjau terminal khas bagi proses inisiatif Road To Makkah di terminal yang sama dan hasilnya kami berpeluang melihat proses haji pintar itu setakat ini hanya melibatkan tiga negara dan  pada masa depan semua proses boleh dilakukan menerusi hujung jari sahaja.

Hari ini wakil media akan meninjau latihan perarakan pihak keselamatan pihak berkuasa sempena musim haji manakala keesokan harinya kami akan dibawa melihat kilang membuat kiswa Kaabah, melawat Muzium Harmain dan dijangka bertemu dengan wakil Kementerian Haji dan Umrah.

Mungkin peluang sekali seumur hidup apabila kumpulan media dijadual dibawa ke kem tentera udara bagi taklimat persiapan keselamatan kepada jemaah haji dan diberi peluang menaiki helikopter bagi melihat sendiri pemandangan kawasan Kaabah dari udara.

Pada hari Rabu, wakil media akan melawat Custodiam Of The Two Holy Mosque Institute for Haji and Umrah. Jadual kami yang padat akan diisi pula dengan program melawat projek pembesaran kawasan di Tanah Haram.

Kemudiannya, wakil media juga akan bersama jemaah haji lain menunaikan rukun Islam kelima.

Tujuan utama bagi wakil media mendapat gambaran menyeluruh aspek persiapan kerajaan Arab Saudi menguruskan jutaan jemaah haji dan proses menambahbaik perkhidmatan mereka pada masa depan.-MalaysiaGazette

Artikel berkaitan

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/03/bukan-mudah-urus-jutaan-jemaah-haji/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/04/jemaah-haji-malaysia-paling-tertib/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast