dav

KUALA LUMPUR – Tindakan kesemua 198 ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari seluruh negara yang menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai presiden parti dibuat secara sukarela.

Jurucakapnya, Noor Amin Ahmad menegaskan, sokongan itu dibuat tanpa paksaan mana-mana pihak mahupun arahan daripada ibu pejabat parti itu.

“Kami buat (sokongan) bukan kata satu arahan daripada parti atau agenda parti.

“Ini adalah secara sukarela, oleh kerana kita melihat ada semacam gambaran bahawa Keadilan sedang berpecah.

“Kami mengambil inisiatif sendiri ketua-ketua cabang, jadi kita ambil tempat lain (buat sidang media),” katanya pada sidang media khas di Restoran Amjal, Lembah Pantai, di sini, hari ini.

Noor Amin juga berkata, tindakan mereka membuat pengumuman itu di luar ibu pejabat PKR bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap pimpinan tertinggi parti itu.

“Kalau kita buat di ibu pejabat parti nanti dikatakan arahan pihak tertentu, menggunakan premis parti secara tidak bertanggungjawab.

“Tapi kami isu pemilihan premis bukanlah isu pokok,” katanya.

Beliau juga berkata, walaupun akui dalam parti wujud kecenderungan kepada pemimpin tertentu, namun tindakan mereka jelas untuk mengukuhkan parti.

“Bagi saya semua parti mungkin ada kecenderungan kepada pimpinan tertentu. Itu lumrah dalam parti politik untuk meraih sokongan.

“Cuma 198 Ketua Cabang PKR hari ini datang menunjukkan bahawa sejauh mana perbezaan yang kita ada, ada isu bersama dan tiada pertikaian,” katanya.

Beliau turut menafikan tindakan mereka menyatakan sokongan terhadap Anwar disebabkan desas-desus mengatakan Resolusi Majlis Pemukiman yang ditandatangani sebelum ini di Port Dickson tidak dipatuhi.

“Tujuan sidang media dibuat hari ini dikatakan wujudnya dakwaan Keadilan sedang bergolak dan berpecah.

“Sebaliknya kita mahu tunjukkan keutuhan kita dan masih kuat sebagai tunjang dalam PH,” katanya.

Ketika ditanya sokongan itu hanya kepada Anwar dan bukannya kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku timbalan presiden, Nood Amin bagaimanapun berkata soal itu tidak timbul.

“Kita tak bincang langsung tentang pimpinan lain.

“Kenapa kita hanya bincang pasal Anwar sebab dalam perbincangan PH, memang spesifik sebut pasal jawatan Perdana Menteri , selepas Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Anwar.

“Tidak timbul nama-nama lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette