Dr Kamarul Zaman Yusoff

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa agar tidak tunduk dengan kecaman dan penolakan sesetengah pihak mahupun parti politik gabungan Pakatan Harapan (PH ) dalam isu pembelajaran seni khat, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff.

“Amat tidak rasional sekali ketakutan yang ditunjukkan oleh penentang tulisan khat ini dan amat bacul sekali jika kerajaan tunduk kepada desakan penentang tulisan khat ini,” katanya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai tuntutan daripada DAP, hari ini.

Dr Wan Azizah dilaporkan berkata beliau akan membincangkan semula isu tulisan khat sejurus Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pulang dari dari lawatan kerja ke Fukuoka, Jepun, pada 8 Ogos ini.

Kenyataan itu ekoran keresahan orang ramai dalam isu ini.

Dalam pada itu, Dr Kamarul turut mempersoalkan penentangan terhadap pelaksanaan tulisan khat jawi oleh PH mulai tahun depan.

“Akan terjejaskah pegangan agama murid Tahun 4 tersebut semata-mata kerana mereka dikehendaki menulis dalam bentuk tulisan khat lima simpulan Bahasa Melayu ini?,” soal beliau lagi.

Tulisan khat lima simpulan Bahasa Melayu merangkumi “ringan tulang”, “buah tangan”, “ambil berat”, “ibu kandung” dan “baik hati”.

Hari ini, 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil meminta PH agar menangguhkan cadangan memperkenalkan unit seni khat Melayu-Arab dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan.

Desakan itu turut ditujukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memberikan penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran. -MalaysiaGazette