KUALA SELANGOR – Polis menahan 28 orang yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di Sungai Darah, Kuala Selangor semalam yang menyaksikan seorang anggota polis dan seorang orang awam cedera.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Fadzil Ahmat, pergaduhan tercetus antara dua kumpulan ketika perarakan chariot di Kuil Kaliamma di Bestari Jaya.
“Ketika perarakan berlangsung, telah berlaku satu pertengkaran antara dua kumpulan mengenai pemasangan khemah yang akhirnya membawa kepada pergaduhan melibatkan parang.
“Polis yang bertugas cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan tetapi telah diserang. Seorang anggota polis India, 34 tahun, telah cedera di belakang tapak tangan kiri dan dirawat dengan enam jahitan.
“Sehingga kini terdapat seorang mangsa awam yang mengalami kecederaan putus sebahagian tapak tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Fadzil lagi, polis masih dalam usaha memburu sejumlah lagi suspek dan mengenal pasti kumpulan yang terlibat dalam insiden pada pukul 9.15 malam tadi.
Turut dirampas lima bilah parang yang digunakan semasa pergaduhan itu. – MalaysiaGazette