Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mendedahkan telah menerima bayaran RM175 juta daripada Lynas Malaysia baru-baru ini, sebaliknya menjadikan pinjaman Bon Samurai daripada Jepun dan hutang negara sebagai alasan.

Bekas perdana menteri itu berkata, tiada siapa yang paksa Malaysia supaya berhutang dengan Jepun dan semasa sepanjang beliau mentadbir negara, kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah pun meminjam dengan Jepun.

Berbanding semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri keempat, Malaysia banyak meminjam dengan Jepun hingga hutang asing melambung apabila nilai yen naik berkali ganda.

“Tapi kerajaan BN masa saya sudah melunaskan kebanyakan hutang ini,” katanya.

Tambah beliau, hutang negara telah meningkat dari RM686.8 bilion pada akhir 2017 masa BN memerintah kepada RM807 bilion sekarang dan hampir seluruh kenaikan RM120 bilion ini adalah daripada sumber pinjaman domestik dalam ringgit Malaysia.

“Tiap-tiap bulan PH meminjam sekitar RM10 bilion. Dengan itu, hutang negara bertambah sekitar RM10 bilion tiap-tiap bulan.

“Bulan Julai, PH pinjam RM10.5 bilion. Bulan Jun pinjam RM8 bilion. Bulan Mei pinjam RM12 bilion. Bermakna ianya tidak ada masalah untuk PH meminjam dari sumber domestik” tambah Najib lagi.

Selain itu, katanya, kerajaan BN juga meninggalkan rizab tunai sebanyak RM170 bilion dalam Petronas sehingga PH menjarah RM82 bilion.

“Kalau boleh pinjam RM120 bilion daripada sumber domestik dan menjarah RM82 bilion dari Petronas, kenapa pula PH perlu pinjam RM7.3 bilion dari Jepun?,” tegasnya sambil menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh sebagai mengarut.

Malah, kata Najib, alasan itu seolah-olah Malaysia telah dijual kepada Jepun dan kini menjadi tanah jajahan Jepun sekali lagi.

“Bagi saya, ini alasan sangat mengarut.

“Tapi, apa yang Fuziah tak sebut ialah kerajaan PH telah menerima bayaran RM175 juta dari Lynas baru-baru ini.

“Oleh itu, lesen Lynas dilanjutkan dan Lynas mungkin dibenarkan untuk buang sisa-sisa mereka ke dalam bekas kolam lombong. Kenapa tak sebut duit Lynas sudah masuk?,” soalnya.

Semalam, Fuziah dalam kenyataan mendakwa kerajaan terpaksa melanjutkan lesen Lynas dan membenarkan sisa bahan radioaktif dilupuskan di negara ini kerana tersepit dengan Jepun yang telah meminjam wang kepada Malaysia dalam bentuk Bon Samurai.

Kerajaan PH telah membuat pinjaman Bon Samurai sebanyak RM7.3 bilion awal tahun ini.

Jepun pula didakwa merupakan benefisiari mutlak daripada hasil unsur nadir bumi (REE) kilang Lynas.

Fuziah yang lantang mengkritik Lynas semasa menjadi pembangkang dahulu menyalahkan kerajaan BN sebagai punca hutang negara terlalu tinggi sehingga kerajaan sekarang terpaksa meminjam wang dari Jepun. – MalaysiaGazette