KUALA LUMPUR – Umum mengetahui sejak kebelakangan ini pertikaian tercetus mengenai telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ yang bakal ditayangkan di Radkio Televisyen Malaysia (RTM) September ini.
Pelakon yang pernah memegang watak antagonis dalam drama Nur, Azhan Rani tidak ketinggalan untuk mengulas mengenai isu ini.
Beliau menerusi Instagram meluahkan rasa kesal dengan pertikaian pelbagai pihak yang disifatkannya sebagai menjatuhkan imej telemovie yang belum pun ditayangkan lagi.
Beliau turut menganggap laporan berita mengenai telemovie itu menyumbang kepada persepsi negatif.
“Karya tu belum bercerita lagi.. Kalau pun cerita-cerita macam ni kita tak payah keluarkan kat drama atau filem, boleh tak surat khabar pun spin semua berita-berita yang taboo yang jijik yang berlaku dalam dunia realiti ni? Tunjukkan kat dunia Malaysia ni aman damai makmur Islamik gerenti syurga walaupun!,” katanya.
Tuduhan yang dibuat terhadap ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ yang boleh diambil sebagai teladan, tambah Azhan atau lebih dikenali Syed Hamadi dalam Nur, tidak berasas jika dibandingkan dengan filem hantu yang memberi pengaruh buruk.
“Kejap cerita tu menjatuhkan Melayu kejap menjatuhkan agama.. end up (akhirnya) orang-orang tu buat cerita yang lebih kurang juga.. Dok sibuk marah orang tak takut Tuhan ke, tapi gigih buat cerita hantu ajak orang takut setan,” ujarnya.
Beliau percaya pihak penerbitan telemovie itu tidak sedar dan maklum karya yang mereka hasilkan daripada hari pertama penggambaran.
Dalam masa yang sama di ruangan komen, Pengarah dan penulis skrip Nur dan Nur 2, Shahrulezad atau mesra disapa Abang Ijat menganggap pihak yang melakukan tuduhan terhadap telemovie tersebut hanya mencemarkan Islam.
“Entah kenapa. Aku frust giler dgn issue ni an. Frust sesangat. Aku sedih bila wujud segelintir org org kayangan ni pandang org org mcm kita ni penuh prejudis,” ujarnya. -MalaysiaGazette