Peguambela dan Peguamcara, Datuk Setia Salehuddin Saidin berucap pada Siri Wacana Cendekiawan ATMA Kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu Di Sisi Perlembagaan Persekutuan : Antara Yang Tersurat & Tersirat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 05 OGOS 2019.

KUALA LUMPUR – Pengamal undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin berpendapat pembelajaran tulisan khat jawi dalam kurikulum Tahun Empat Bahasa Melayu bermula tahun hadapan tidak langsung melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Malah menurut peguambela dan peguamcara itu, pembelajaran  tulisan jawi tidak langsung bertujuan untuk mengislamkan individu yang mempelajarinya.

“Kalau Kementerian Pendidikan nak mencadangkan bahawa tulisan khat dan jawi termasuk dalam silibus dan sebagainya, itu tidak bertentangan langsung dengan kehendak Perlembagaan.

“Kenapa ada pihak yang menentang penggunaan tulisan jawi untuk maksud menjadikan sebahagian daripada silibus sekolah. Selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak undang-undang, saya tidak nampak apa masalah dia,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Salehuddin merujuk kepada kenyataan 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil yang meminta kerajaan Pakatan Harapan (PH) agar menangguhkan cadangan memperkenalkan unit seni khat Melayu-Arab dalam silibus Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular tahun depan.

Desakan itu turut ditujukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) agar memberikan penjelasan lanjut bahawa murid sekolah tidak akan menjalani ujian berdasarkan kemahiran menulis khat semasa peperiksaan walaupun ia dimasukkan dalam Dokumen Standard Kurikulum Pentaksiran (DSKP) dan sukatan pelajaran.

Mengulas lanjut, Salehuddin berkata, tulisan jawi tidak ada kena mengena dengan kedudukan Islam, yang mana Islam adalah kedudukan beragama semata-mata.

“Menjadikan tulisan jawi itu sebagai silibus tidak menggambarkan bahawa kita nak membawa orang bukan Islam untuk masuk Islam.

“Saya tidak nampak itu sebagai pendekatan untuk menarik orang bukan Islam untuk memeluk Islam,” katanya lagi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menegaskan bahawa keputusan memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah muktamad. -MalaysiaGazette