KUALA LUMPUR – Penyanyi muda Wany Hasrita bakal berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadat haji esok.
Nurshazwany Hasrita Hasbullah yang akan berangkat bersama-sama dengan Amira Othman mengaku diselubungi perasaan yang berdebar kerana bakal menunaikan rukun Islam kelima pada usia yang muda.
“Rasa macam bermimpi pun ada kerana Wany tidak pernah terfikir untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini. Apapun, Wany bersyukur kerana Allah memberikan peluang kepada Wany menjadi tetamuNya, walaupun tawaran datang pada saat akhir,” katanya.
Wany, 26 berkata, dia membuat persediaan dalam masa yang sangat singkat memandangkan undangan daripada Kerajaan Arab Saudi dimaklumkan dalam masa yang singkat.
“Pemergian kami berdua adalah atas undangan Kerajaan Arab Saudi.
“Memandangkan Wany akan berangkat esok, segala persiapan perlu dibuat hari ini, antaranya mendapatkan suntikan vaksin dan juga menyediakan pelbagai kelengkapan lain,” tambahnya.
Selain akan mendapatkan rujukan daripada ustaz, Wany dalam masa yang sama mendapatkan nasihat daripada penceramah terkenal, Profesor Dr Muhaya Mohamad. -MalaysiaGazzete