Jamal Md Yunos
Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mempersoalkan tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengenakan pertuduhan sama ke atas beliau di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan, sejak Selasa lalu.

Kesal dengan tindakan itu, Jamal menegaskan kes itu tidak sewajarnya dilakukan pertuduhan semula kerana ia telah digugurkan oleh mahkamah sendiri, pada Jun lepas.

“Perbicaraan telahpun berjalan dari beberapa bulan lepas dan kes ini amat pelik sekali kerana kes ini telahpun digugurkan oleh mahkamah pada Jun lepas dan dituduh balik pada Julai lalu.

“Perbicaraan telah pun berjalan sejak Selasa lalu. Hari ini pihak pendakwaan tidak dapat mengemukakan saksi daripada polis dan pengadu.

“Pengadu pula tidak dapat dikesan dan diserahkan sapina. Tapi agak pelik pihak pendakwaan memaklumkan pihak Peguam Negara masih ingin meneruskan pendakwaan terhadap saya,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di laman sosial Facebook, hari ini.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Majistret Ampang melepas tanpa membebaskan Jamal daripada pertuduhan menceroboh sebuah premis perjudian di Taman Kosas, Ampang, tiga tahun lalu.

Pada 5 Julai 2018, Jamal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama Aenol Rofik Mawardi, 21, dan seorang lagi yang masih bebas didakwa menceroboh kedai Starcom Trading dan Services, nombor 23 & 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di sini pada pukul 3.30 petang, 29 Disember 2016.

Jamal juga menyifatkan pertuduhan semula kes berkenaan sebagai satu penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara hingga membuang masa mahkamah.

“Peguam Negara mengenakan pertuduhan yang remeh-temeh terhadap saya hanya kerana saya ini pemimpin politik daripada UMNO.

“Kalau saya pemimpin politik daripada Pakatan Rakyat (PH) sudah pasti tidak ada pertuduhan,” katanya.

Katanya lagi, walaupun kes tersebut sudah empat tahun lamanya dan pihak pendakwaan masih gagal mengemukakan saksi, namun Peguam Negara mengarahkan mereka untuk meneruskan perbicaraan.

“Jadi memang betul lah apa yang dinyatakan oleh sesetengah pihak bahawa Peguam Negara hanya melakukan kes-kes terpilih.

“Maka perlu untuk Peguam Negara meletakkan jawatan dalam waktu terdekat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast