KUALA LUMPUR – Pemberhentian skim ‘bantuan tanaman semula pekebun kecil getah adalah malapetaka besar bagi 355,000 orang pekebun kecil getah di negara ini.
Pengumuman pemberhentian bantuan ini turut disifatkan sebagai lambang kejahilan dan sikap ‘bodoh sombong’ menteri dalam Pakatan Harapan (PH) menguruskan hal ehwal pekebun kecil dan penoreh.
Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, di saat harga komoditi getah sedang tenat, bayaran tanaman semula yang menjadi hak pekebun berdasarkan peraturan yang sah, cuba dinafikan pula.
Sedangkan, katanya, bantuan tanaman semula yang dipraktikkan puluhan tahun lampau itu adalah bersumberkan cukai ses yang dikutip daripada hasil jualan (eksport) getah para pekebun.
“Sejak tahun 1952, bagi membiayai dan melaksanakan Rancangan Tanam Semula kebun getah pekebun kecil, Kerajaan telah meluluskan Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952 yang memperuntukkan kutipan cukai ses RM0.14 sen bagi setiap kilogram getah yang dieksport.
“Skim yang dinamakan Rancangan Perusahaan Getah (Penanaman Semula) Bagi Estet 1974, memperuntukan supaya wang ses yang dipungut dikembalikan terus kepada pemilik ladang-ladang besar (melebihi 40.5 hektar) dalam bentuk wang tunai mengikut bukti pengeluaran mereka setiap suku tahun. Langkah ini dibuat agar mereka dapat menguruskan sendiri pembiayaan tanaman semula ladang mereka kelak.
“Daripada kutipan ses ini, 10 sen dikumpulkan untuk dipulangkan sebagai ‘bantuan’ tanaman semula sementara 4 sen lagi diperuntukkan untuk penyelidikan.
“Dalam skim tanam semula bagi sektor ladang (keluasan melebihi 100 ekar/40.5 hektar) terdapat peruntukan di bawah seksyen 10, Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula – 1952 setelah dipinda oleh Akta Risda 1972),” jelasnya.
Bagaimanapun, akibat daripada tindakan kerajaan PH menyerahkan urusan berkenaan kepada orang yang bukan ahlinya, maka langkah sumbang seperti ini telah terjadi sewenang-wenangnya.
Lantaran itu, Pas Kedah mendesak Terresa Kok menarik balik pengumuman itu serta merta dan memohon maaf atas kegagalan beliau mencari jalan keluar dalam krisis harga getah yang merudum pada waktu ini.
Dakwa beliau, Pakatan Harapan khususnya DAP bukanlah parti yang boleh diharap untuk membantu para pekebun kecil yang terdiri daripada kaum. Melayu di negara ini.
Alasan beliau bahawa langkah ini dilakukan untuk mewujudkan keadilan kepada pihak pekebun yang menyertai skim di bawah Felda dan Felcra, adalah alasan dangkal.
Ini kerana, kumpulan itu tertakluk di bawah seksyen 10, Akta Risda 1972 berkaitan pemulangan Ses dan pelaksanaan tanaman semula ladang mereka.
“Jika alasan Teressa Kok bahawa dengan melaksanakan langkah ‘semua pihak tidak dapat bantuan’ adalah satu keadilan, maka langkah ‘memberi bantuan kepada semua pihak’ adalah satu keadilan yang lebih baik dan perlu diutamakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette