KUALA LUMPUR – Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) berjaya membina membina Rumah Ronald McDonald (RRM) di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang Kerian, Kelantan dengan kos sebanyak RM4 juta hasil sumbangan pelbagai pihak.
Rumah penginapan sementara ini memenuhi keperluan keluarga pesakit pediatrik di samping meringankan beban kewangan ketika anak mereka menjalani rawatan di Hospital USM dengan kos penginapan yang amat berpatutan, berharga RM5 untuk satu malam.
Ia merupakan rumah kedua seumpamanya di Malaysia. Rumah Ronald McDonald pertama telah dibina pada tahun 1999 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM-UKM) Kuala Lumpur yang bakal menyambut ulang tahun ke-20.
Di peringkat global, Rumah Ronald McDonald oleh RMHC kini mencecah 370 buah di seluruh dunia.
Konsep rumah penginapan sementara seperti ini amat unik kerana ia membolehkan keluarga pesakit yang datang dari jauh untuk berada dekat dengan anak-anak mereka ketika menjalani sesi rawatan yang berpanjangan.
RRM ditubuhkan di Hospital USM kerana terdapat keperluan yang amat tinggi, yang mana ia menerima lebih 20,000 pesakit pediatrik setiap tahun.
Rumah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat Kelantan yang kebanyakannya mendapatkan rawatan di sini, ia juga akan meringankan beban majoriti besar yang mengunjungi Hospital USM kerana mereka terdiri daripada golongan
berpendapatan rendah yang datang dari kawasan luar bandar dan negeri-negeri lain.
Kewujudan Rumah Ronald McDonald di sini secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Hospital USM sebagai sebuah hospital yang cakna kepada keperluan pesakit dan waris mereka, khususnya di Pantai Timur.
Presiden RMHC Malaysia, Azmir Jaafar, pembinaan Rumah Ronald McDonald ini yang bernilai kira-kira RM4 juta tidak mungkin berjaya direalisasikan tanpa sumbangan ikhlas daripada pelanggan-pelanggan McDonald’s melalui tabung RMHC Malaysia di semua restoran McDonald’s di seluruh negara, syarikat-syarikat korporat, para pekerja dan juga para francaisi McDonald’s.
“Kami berbesar hati dapat memberi kemudahan Rumah Ronald McDonald ini untuk kegunaan ramai, lebih-lebih lagi untuk rakyat Kelantan dan Pantai Timur. Diharapkan dengan adanya rumah ini, ibu bapa lebih senang hati dan selesa menghantar anak mereka untuk menjalani rawatan di hospital,” tambah Azmir,” ujarnya.
Katanya, Rumah Ronald McDonald itu memiliki 18 bilik tidur yang boleh memuatkan 18 keluarga dalam satu-satu masa dengan 72 buah katil.
Ia juga dilengkapi dengan kemudahan bilik sensori Ronald McDonald, lengkap dengan peralatan multi deria khas untuk
membantu perkembangan kanak-kanak istimewa.
Selain itu, terdapat ruang makan, ruang istirahat, dapur, bilik dobi, bilik permainan. – MalaysiaGazette