KUANTAN – Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur yang merupakan laluan utama dari Pantai Barat ke Pantai Timur dijangka merekodkan 1.647 juta kenderaan sempena cuti Hari Raya Aidiladha.
Menurut kenyataan media pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) Anih Berhad di sini hari ini, pihaknya menjangka 583,00 kenderaan akan menggunakan LPT1 yang merupakan laluan utama ke Pahang dan Terengganu.
“Anih Berhad menjangkakan purata harian kenderaan yang bakal menggunakan kedua-dua lebuh raya meningkat sehingga 60 peratus berbanding hari biasa iaitu 109,000 kenderaan sehari bagi KLK dan 42,500 kenderaan untuk LPT1.
“Kenderaan dijangka mula meningkat pada petang hari ini sehingga esok bagi perjalanan ke Pantai Timur manakala peningkatan perjalanan ke ibu kota dijangka berlaku pada petang 12 hingga 13 Ogos serta 17 dan 18 Ogos bagi peringkat kedua,” menurut kenyatan itu.
Sehubungan itu, Anih Berhad menasihatkan pengguna untuk merancang perjalanan mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat.
Berdasarkan TTA, pengguna yang mahu ke Pahang esok disaran masuk ke lebuh raya bermula 12 tengah hari hingga 3 petang atau 7 hingga 11 malam, manakala perjalanan ke Terengganu dan Kelantan dinasihatkan bermula pada 6 hingga 10 pagi atau antara 5 petang hingga 8 malam.
Pengguna kenderaan ringan juga disarankan untuk tidak memasuki Plaza Tol Gombak antara 9.30 pagi hingga 12 tengah hari atau antara 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi memberi laluan kepada waktu perjalanan bas ekspres.
Bagi perjalanan pulang ke ibu kota, pengguna dari Pahang disaran memasuki lebuh raya pada 6 hingga 10 pagi atau 7 hingga 11 malam manakala waktu yang digalakkan bagi mereka dari Terengganu ialah 10 pagi hingga 1 tengah hari atau 8 hingga 10 malam.
Mereka yang pulang dari Kelantan pula disarankan memulakan perjalanan pada 5 petang hingga 9 malam atau bermula 9 malam hingga 12 tengah malam.
“Anih Berhad juga menasihatkan semua pengguna untuk memastikan baki kad Touch ‘n Go atau e-Wallet RFID mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi melancarkan pergerakan di plaza tol,” menurut kenyataan itu.
Pengguna yang mahu mendapatkan maklumat terkini trafik boleh menghubungi talian bebas tol 1-700-818-700 atau mengikuti Twitter @LPTTrafik. – Bernama