SAO PAULO, BRAZIL – Bintang bola sepak dunia, Neymar kini boleh menarik nafas lega dakwaan digugurkan oleh pegawai pendakwa raya mahkamah negara itu.
Penyerang Paris Saint Germain sebelum ini berdepan kes paling berat apabila dituduh merogol seorang model dalam sebuah bilik di sebuah hotel di Paris.
Badan kehakiman mengeluarkan keputusan mengenai kes itu selepas polis yang menyiasat tuduhan tersebut mendapati ia kekurangan bukti.
“Bukti yang terdapat hanya hubungan mesra sahaja.
“Tidak ada bukti berlaku keganasan seks ke atas mangsa,”kata seorang pegawai pendakwa raya, Estefania Paulin kepada wartawan di Sao Paulo.
Kes Neymar itu mendapat perhatian seluruh dunia sejak Mei sejurus seorang model membuat aduan yang mendakwa bekas penyerang Barcelona dan kelab Santos itu memperkosanya dalam sebuah bilik hotel ketika mereka bertemu di Paris.
Kes itu tersebar meluas di media sosial.
Neymar menafikan tuduhan itu dengan menyebarkan mesej peribadi dan gambar-gambar menerusi medium sama bagi mempertahankan diri.
Namun pemain berusia 26 tahun itu masih berdepan satu lagi siasatan berhubung tuduhan kes jenayah menyebarkan bahan foto lucah menerusi Internet. – MalaysiaGazette