Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengesahkan terdapat beberapa negeri di selatan tanah air telah merekodkan penurunan paras air sungai dan empangan.

Bagaimanapun pengerusinya, Charles Santiago berkata empangan-empangan yang membekalkan sumber air untuk loji rawatan air masih lagi dalam keadaan terkawal.

“Sebagai badan kawal selia, SPAN sentiasa memantau rapi keadaan bekalan air yang dibekalkan kepada pengguna terutama semasa cuaca tidak menentu ini.

“Ekoran dari situasi semasa ini, para pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berhemat ketika menggunakan air
termasuk pada musim perayaan.

“Elakkan pembaziran supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penurunan paras air itu disebabkan cuaca panas dan kering serta situasi jerebu yang mula melanda di beberapa negeri di Malaysia kini.

Mac lalu, kerajaan Johor mengesahkan paras air di semua empangan di negeri itu mengalami penyusutan susulan keadaan cuaca panas dan kering, selain kekurangan taburan hujan.

Empangan Upper Layang umpamanya yang memberikan perkhidmatan air kepada penduduk di Pasir Gudang dan Timur Johor Bahru dilaporkan masih dapat bertahan selama kira-kira 69 hari, sebelum paras air sampai tahap kritikal.

Perkara itu dinyatakan oleh EXCO Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast