KUALA LUMPUR – Seorang jurutera daripada Jabatan Kerja Raya (JKR), Hafidzan Idris menggesa masyarakat mengenepikan fikrah siasah masing-masing dan berfikir dari sudut ilmu berhubung perobohan replika buku di bumbung Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Menurut Hafidzan, beliau terpanggil untuk memberikan pandangan kerana melihatkan masyarakat kini berpecah kepada dua bahagian.
“Struktur rehal (replika buku) tersebut telah disahkan tidak selamat oleh sahabat-sahabat saya yang pakar dalam bidang struktur. No political influence. (Tiada pengaruh politik). Keputusan dan dapatan mereka berdasarkan takrifan kejuruteraan.
“Dikhuatiri jika struktur tersebut tidak ditanggalkan, ia akan berisiko tercabut dan jatuh,” katanya di Facebook beliau.
Mengulas lanjut, Hafidzan berkata, tidak salah untuk berpolitik tapi biarlah iman dan ilmu yang memandu fikrah bukan emosi dan nafsu amarah.
“Jelas ia adalah isu keselamatan dan kejuruteraan bukannya politik.
“Mungkin istilah yang digunakan itu kurang tepat. Molek jika kita gunakan perkataan ditanggalkan daripada perkataan dirobohkan,” katanya lagi.
Isu perobohan rehal tersebut viral dengan mendapat perhatian ramai dan menurut DBP, keputusan itu terpaksa dilakukan demi keselamatan ramai.
Menurut Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, langkah itu diambil oleh Jabatan Kerja Raya yang melakukan pemeriksaan di Menara DBP dan mendapati bahawa struktur replika ini tidak kukuh disebabkan hakisan dan karat teruk.
“Perobohan replika berbentuk buku di Menara DBP banyak ditularkan oleh warga maya dengan berbagai-bagai tanggapan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa perobohan ini dibuat atas faktor keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam. -MalaysiaGazette