Keadaan di beberapa kawasan di Langkawi yang dilanda ribut malam tadi.

LANGKAWI – Polis menerima 35 laporan mengenai pelbagai kerosakan akibat ribut di pulau ini setakat 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya juga yakin laporan yang diterima akan bertambah memandangkan banyak lokasi di pulau ini terjejas dengan kejadian tersebut.

“Setakat 2 pagi tadi, polis telah terima 35 laporan, antaranya melibatkan kerosakan rumah, kenderaan dan sebagainya. Setakat ini, kita juga belum terima sebarang laporan kehilangan nyawa akibat kejadian ribut tadi.

“Kecuali ada maklumat mengenai kecederaan ringan dialami pekerja hotel serta penduduk sekitar kawasan ini akibat ditimpa dahan dan ranting dan mereka telah mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Jalan Pantai Tengah di sini pagi ini.

Mohd Iqbal berada di lokasi tersebut bagi memantau kerja-kerja pembersihan pokok tumbang dan kabel elektrik terjatuh di atas jalan raya yang dilaksanakan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Langkawi dan Polis Diraja Malaysia.

Turut membantu kerja-kerja tersebut Bomba Komuniti Pantai Chenang dan kontraktor Tenaga Nasional Berhad bersama orang awam.

Mohd Iqbal turut minta orang ramai yang mengalami kerugian harta benda akibat ribut untuk tampil membuat laporan bagi memudahkan sebarang tuntutan kelak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Juhari Bulat yang turut berada di lokasi tersebut berkata pihaknya akan membuat bancian bagi mengenal pasti jumlah rumah yang mengalami kerosakan di kawasan tersebut.

“InshaAllah esok kita akan banci bagi mendapatkan jumlah sebenar, kemudian akan diusahakan bantuan kepada rumah yang layak mengikut kriteria ditetapkan, bagaimanapun bantuan ini tidak melibatkan premis-premis perniagaan.

“Keutamaan bantuan juga akan dinilai berdasarkan keperluan sebagai contoh ada sebuah rumah di Kampung Perana bakal mengadakan kenduri Selasa depan (13 Ogos) namun ribut yang berlaku tadi mengakibatkan bumbung rumah tersebut tercabut,” katanya sambil menambah telah melawat empat lokasi sekitar pulau ini selepas kejadian ribut tersebut.

— BERNAMA