Antara kawasan yang terjejas akibat dilanda ribut malam tadi.
ALOR SETAR – Seorang wanita maut dilanggar sebuah kereta selepas dia terjatuh daripada motosikal akibat terkena kepingan atap zink yang diterbangkan ribut di hadapan Masjid Sharifah Fatimah, Batu 13, Jitra, dekat sini malam ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata kejadian berlaku apabila sekeping atap zink yang diterbangkan angin terkena Marziah Che Omar, 27, dari Taman Bersatu, Jitra, yang sedang menunggang motosikal, menyebabkan dia terjatuh di atas jalan.

“Zink itu kemudian diterbangkan lagi dan menutup cermin hadapan sebuah kereta yang berada di belakang motosikal, menyebabkan pemandunya tidak tidak nampak pandangan hadapan, dan kereta itu terus menggilis wanita berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya Marziah yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Jitra untuk bedah siasat.

Beliau berkata pemandu kereta itu membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Jitra dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saya ingin nasihatkan orang ramai supaya memandu dengan lebih berhati-hati dalam keadaan hujan lebat dan angin kuat ini. Selain itu elak memberhentikan kenderaan di bahu jalan kerana ia boleh mengundang bahaya,” katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast