Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid bercakap kepada media pada Program Ibadah Korban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 1440 H/ 2019 di Perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Putrajaya. Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 13 OGOS 2019.

PUTRAJAYA- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) tidak mengurangkan jumlah anggota dan aset dalam operasi mencari dan menyelamat Nora Anne Quirin meskipun sudah memasuki hari ke-10.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, jabatan tersebut menghantar 58 orang anggota dari enam balai termasuk dari unit anjing pengesan, K-9 dalam misi yang diketuai oleh Polis Diraja Malaysia itu.

“Pencarian masih diteruskan berlandaskan jejak-jejak dan petunjuk yang diberikan oleh orang ramai yang pernah melihat kelibat Nora sebelum dia hilang.

“Kami mendapat petunjuk daripada pihak polis.

“Kami tidak mengurangkan penglibatan (walaupun pencarian yang masuk hari ke-10 masih belum berhasil) dan kami masih mengguna pakai aset-aset yang ada iaitu enam aset,” katanya kepada pemberita pada Program Ibadah Korban Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 1440H/2019 di sini hari ini.

Sehingga semalam, operasi yang membabitkan 353 anggota itu menjadi pasukan SAR terbesar setakat ini.

Nora Anne disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di Pantai oleh keluarganya pada 8 pagi 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarganya di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Semalam ibu kepada remaja istimewa itu, Meabh Jaseprine Quoirin, 46, menawarkan wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga menemukan gadis.

Menurut Mohammad Hamdan, pihak bomba juga sentiasa bersedia untuk memulakan semula pencarian peserta Gopeng Ultra Trail 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau Acap yang hilang pada Mac lalu sekiranya mempunyai petunjuk baharu.

Pencarian Acap ditangguhkan pada 17 April lalu selepas hampir sebulan operasi SAR menemui jalan buntu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast