Kementerian Pendidikan Malaysia

KUALA LUMPUR – Para pelajar rakyat Malaysia yang telah memohon melanjutkan pengajian ke universiti-universiti di Jordan bagi sesi pengajian 2019/2020 boleh menyemak keputusannya bermula esok 14 Ogos 2019.

Keputusan mengikuti programn di Jordan seperti yang diselaraskan oleh Bahagian Education Malaysia Jabatan Pendidikan Tinggi boleh disemak di laman web rasmi http:dohe.moe.my/timurtengah selepas jam 12 tengahari.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, memandangkan pendaftaran semester baharu bagi universiti di Jordan bermula antara 14 September ini, Bahagian Education Malaysia Jordan (EMJ) menetapkan tarikh ketibaan pelajar baharu ke negara itu pada 29 Ogos hingga 5 September ini.

Bahagian Education Malaysia Jordan juga memohon kerjasama calon-calon melengkapkan segera Maklumat Penerbangan Dan Ketibaan Pelajar Malaysia ke Jordan 2019/2020 sebaik sahaja memiliki tiket penerbangan melalui facebook EMJ (EMJordan Mohe).

Maklumat ini diperlukan bagi tujuan menyelaras urusan pengangkutan, penempatan dan pendaftaran pelajar di universiti.

Sebarang kelewatan mengisi maklumat berkenaan akan menyebabkan urusan tersebut tergendala dan akan menjejaskan proses kemasukan ke universiti.

Bagi urusan permohonan visa ke Jordan adalah percuma dan boleh diperolehi di kaunter Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Queen Alia Amman Jordan.

Sebarang pertanyaan dan maklumat umum berkaitan keputusan permohonan sesi 2019/2020 boleh menghubungi alamat berikut.

Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kaunter 4, Aras G, Menara 2, Jalan P5/6, Presint 5, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Pelajar juga boleh menghubungi di talian 03-88706226/6627 atau laman sosial Facebook EMJordan Mohe.- MalaysiaGazette