KOREA SELATAN – Samsung memperkenalkan sensor kamera baharu dengan 108 megapiksel yang direka untuk telefon pintar.
Kamera telefon pintar biasanya hanya mempunyai 12 hingga 16 megapiksel sahaja bagaimanapun Isocell Bright HMX keluaran terbaharu syarikat teknologi dari Korea Selatan itu bakal menjadi sensor kamera pertama yang mempunyai lebih 100 megapiksel untuk kamera telefon pintar.
Menurut Samsung, Isocell Bright HMX direka bagi mendapatkan butiran yang sangat terperinci bagi sekeping foto. Ia juga direka supaya dapat merakam gambar yang lebih cantik ketika cahaya malap.
Bagi rakaman video pula, Isocell Bright HMX boleh merakam sehingga 6K resolusi pada 30 bingkai sesaat, sekaligus mengatasi resolusi video kamera telefon pintar terbaik ketika ini yang hanya mampu merakam 4K pada 60 bingkai sesaat.
Samsung bekerjasama dengan gergasi telefon pintar China, Xiomi untuk membangunkan sensor tersebut dan ia dijangka digunakan dalam telefon pintar Xiomi tidak lama lagi.
Syarikat Korea Selatan itu bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada telefon pintarnya sendiri atau pengeluar telefon pintar lain akan turut menampilkan sensor 108 megapiksel pada produk mereka.
Pengeluaran massa bagi sensoro tersebut dijangka bulan ini.-Agensi