Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggunakan pesawat Bombardier bagi membantu memadam kebakaran tanah gambut di kawasan belukar di Miri, Sarawak yang berlarutan sejak 3 Ogos lalu.

Langkah itu diambil sebagai membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
yang berdepan situasi tersebut sejak 13 hari lalu.

Keadaan tersebut telah menyebabkan berlakunya jerebu di kawasan itu dengan kualiti udara pada tahap berbahaya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam satu kenyataan berkata, operasi memadam kebakaran menggunakan pesawat itu akan bermula hari ini dan pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan terus melakukan operasi pemadaman seperti biasa.

Sehingga kini, keluasan kawasan yang terbakar ialah 104 hektar dengan 41.5 hektar telah berjaya dipadamkan, katanya.

Dr Wan Azizah memberitahu, Kerajaan Sarawak memohon untuk menjalankan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan kebakaran itu tetapi Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mendapati keadaan atmosfera di kawasan itu tidak stabil dan tidak sesuai untuk OPA dijalankan minggu ini.

“NADMA sudah memohon kepada MET Malaysia dan pihak Tentera Udara Diraja Malaysia untuk bersiapsiaga melakukan OPA sjika keadaan atmosfera bersesuaian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah menasihati penduduk di kawasan itu untuk mengurangkan aktiviti di luar rumah serta sentiasa memakai topeng apabila berada di kawasan terbuka.

“NADMA juga akan membiayai pembelian topeng muka bagi kerajaan negeri Sarawak,” ujarnya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS), dalam kenyataan semalam berkata, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Miri terus merekodkan kualiti udara pada tahap berbahaya dengan bacaan IPU 361 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri sehingga 11 pagi.

Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 pula merekodkan bacaan sangat tidak sihat (IPU 268) ekoran kebakaran belukar tanah gambut yang berhampiran dengan stesen-stesen kualiti udara.

Menurut JAS, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan bahagian barat Sarawak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast