PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya meminta Kementerian Kewangan memberikan sebahagian daripada kutipan levi pelepasan yang dikutip.
Menterinya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, dengan itu kementerian berkenaan boleh menambah baik industri pelancongan.
Beliau berkata, cukai itu akan dikutip sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan.
“Memang kita memohon sejumlah cukai ini digunakan di kementerian Pelancongan,” katanya ketika sidang media Prestasi Pelancongan Domestik 2018.
Dalam pembentangan Bajet 2019, Kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara sebanyak RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara-negara lain.
Kutipan yang dibuat mulai 1 Jun itu bertujuan untuk pembangunan pelancongan domestik.
Rang Undang-Undang (RUU) levi pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu dan dijangka bermula September ini.
Dalam masa yang sama, Mohamaddin berkata, tiada keperluan untuk mengkaji semula pelaksanaan cukai pelancongan pada masa ini .
Jelas beliau, ini kerana kutipan cukai itu adalah demi manfaat pembangunan negara termasuklah membayar hutang.
“Kebiasaan cukai pelancongan diguna untuk pembangunan negara, kedua untuk bayar hutang piutang yang lalu. Jadi kalau kita tak pungut cukai ini pembangunan apa kita ada dan bila hutang kita hendak dibayar?
“Jadi tidak penting dalam masa sekarang untuk kaji kembali. Kalau Kementerian Kewangan kata perlu kekal, kita perlu patuh idea itu,” katanya ketika sidang media.
Untuk rekod, Mohamaddin pernah membuat kenyataan mahu mengkaji semula keperluan pelaksanaan Cukai Pelancongan bagi memastikan ia tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara. -MalaysiaGazette