KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagobal mahu pemain sedar hanya kemenangan dalam aksi ketiga kumpulan A Piala Malaysia 2019 menentang Kedah malam ini bakal meletakkan semula mereka pada kedudukan terbaik bagi pemburuan slot ke suku akhir.
PKNS FC ketika ini berada di tangga ketiga kumpulan A dengan tiga mata selepas meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan minggu lalu manakala Kedah di tangga kedua setelah gagal mengekalkan rentak kemenangan apabila tewas kepada Terengganu.
Justeru, Rajagobal menyifatkan persaingan yang cukup sengit bakal ditampilkan pada pertemuan dengan Kedah yang pastinya dilihat pasukan pilihan untuk menebus kembali kekalahan di Stadium Darul Aman tempoh hari.
Namun, itu bukan alasan untuk anak buahnya gentar dengan juara Piala FA 2019 itu kerana peluang masih terbuka untuk kedua-dua pasukan walaupun rekod pertemuan mereka sebelum ini lebih memihak kepada skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dengan dua seri dan dua kemenangan dalam empat aksi terakhir membabitkan Liga Super dan Piala FA musim ini.
“Kedua-dua pasukan sedar dan tahu di mana kedudukan kita setakat ini dalam kumpulan dan kita sememangnya tidak boleh leka walaupun sedikit kerana dua-dua nak kemenangan berharga ini.
“Saya mahu setiap pemain fokus dalam perlawanan Jumaat ini dan saya rasa pemain-pemain pun sudah dapat suntikan semangat selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan di mana kemenangan itu sudah lama kita nantikan.
“Saya percaya jika semua pemain ikut tunjuk ajar dan arahan daripada barisan jurulatih sebaiknya selain disiplin yang tinggi, kemenangan itu mampu menjadi milik kita.
“Kita kena ambil kesempatan seberapa banyak mungkin ke atas Kedah dan tidak boleh terlalu yakin dengan kelebihan beraksi di laman sediri kerana apa yang penting adalah fokus pemain itu sendiri”, jelasnya.
Dalam masa sama, tonggak import PKNS, Gabriel Guerra enggan ketinggalan untuk mencipta impak sekali lagi bagi memburu gol peribadi selepas dia membantu pasukannya meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan menerusi dua jaringan yang dilakukannya.
Pemain dari Argentina itu tidak mahu momentum yang dicipta pada minggu lalu berlalu begitu sahaja dan memastikan prestasi yang lebih baik mampu ditampilkan menentang Kedah.
“Kami tahu Kedah sebuah pasukan yang hebat dan bukan mudah untuk menyaingi mereka, tetapi kami satu pasukan juga tidak pernah berhenti bekerja keras dan cukup bersedia untuk hadapi aksi itu nanti.
“Yang penting, saya mahu bantu pasukan lagi sekali untuk menjaringkan gol di mana saya tidak pernah serik untuk perbaiki prestasi dalam setiap perlawanan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette