SEREMBAN – Pasukan Patologi dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini hadir ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) pada jam 1.52 tengahari tadi.
MalaysiaGazette dimaklumkan pasukan perubatan dari ibu negara itu dikatakan baru sahaja pulang daripada menemui ibu bapa remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin di Villa The Dusun, Pantai, di sini.
Kehadiran mereka itu juga sebaik sahaja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beredar selepas melawat ibu bapa Nora Anne, awal pagi tadi.
Pasukan Patologi HKL yang menaiki kenderaan pacuan empat roda milik hospital berkenaan diketuai oleh Dr Siew Sheue Feng.
Ketika ditegur sekumpulan petugas media yang berada di HTJ, Dr Siew hanya berlalu pergi tanpa memberi sebarang respon tentang tujuan kehadiran mereka, hari ini.
Mayat Nora Anne ditemui Selasa lalu dalam keadaan tidak berpakaian di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan remaja itu dan keluarganya di Villa The Dusun, Pantai, di sini. – MalaysiaGazette