KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terus menemplak penentang-penentang kewujudan kilang nadir bumi Lynas semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Katanya, ‘pejuang alam sekitar’ dalam kalangan kepimpinan Pakatan Harapan bukan hanya membabitkan tiga individu tetapi beberapa lagi yang sudah bergelar menteri sekarang.
“Ingatkan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng saja ‘pejuang alam sekitar’. Ramai lagi rupanya,” sindirnya dalam hantarannya di Facebook.
Presiden MCA itu berkata, mereka sekarang ini sudah bergelar menteri.
Selain Fuziah, Wong Tack dan Guan Eng, Ka Siong turut menamakan pemimpin Pakatan Harapan yang lain iaitu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.
Selain itu, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Menteri Hal Ehwal Islam Mujahid Yusof Rawa.
Beliau turut memaparkan gambar-gambar pemimpin berkenaan menandatangani Aku Janji Batal Lynas.
Malah beliau berkata, dulu Pakatan Harapan menggunakan #SaveMalaysiaStopLynas tetapi sekarang #SaveMalaysiaKeepLynas.
Perhimpunan anti Lynas dijangka diadakan pada hari Ahad ini, bakal dianjurkan oleh kumpulan sama yang menentang Lynas semasa PRU-14.
Penganjur mendakwa mereka mahu membakar manifesto Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan mereka itu tidak menyelesaikan masalah.
Bahkan, Dr Mahathir mengalu-alukan sesiapa yang mahu membakar manisfesto PH itu kerana kerajaan sebenarnya berurusan secara rasional untuk membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi.
“Agak-agak Lim Guan Eng dan Fuziah Salleh akan turut serta himpunan 818 ini atau tidak?,” soalnya dalam hantaran berasingan. – MalaysiaGazette