KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengucapkan syabas dan tahniah kepada skuad B-18 kebangsaan kendalian Brad Maloney yang berjaya melangkah ke final Kejuaraan Bawah 18 Tahun (B-18) AFF 2019 hari ini.
Malaysia menewaskan Indonesia 4-3 pada aksi separuh akhir di Ho Chi Minh City, Vietnam yang berleretan hingga masa tambahan dalam perlawanan yang penuh mendebarkan.
Hamidin menyifatkan pemain muda negara telah menampilkan persembahan yang cukup bertenaga dan dramatik telah ditampilkan.
“Kesungguhan serta komitmen yang tinggi ditunjukkan semua pemain sepanjang permainan amat membanggakan.
“Pujian harus diberikan kepada para pemain muda negara kita ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Brad dan barisan kejurulatihannya iaitu Khan Hung Meng dan Yong Wai Hwang serta pegawai-pegawai lain diketuai pengurus pasukan yang juga merangkap exco FAM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd Shahar yang turut sama bekerja keras sepanjang hampir dua minggu mereka berada di Vietnam,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook FAM sebaik perlawanan berakhir.
Hamidin turut berharap semangat dan momentum ini dapat diteruskan pada aksi final, Isnin ini.
Tegas beliau, selaku juara bertahan, skuad negara tidak perlu gentar samada akan berdepan Australia atau pun Myanmar untuk mempertahankan kejuaraan, malah penting buat pemain untuk kekal fokus.
Lawan Malaysia pada aksi final nanti hanya akan dapat diketahui selepas berakhirnya satu lagi aksi separuh akhir antara Australia dan Myanmar, malam ini. – MalaysiaGazette