Foto Facebook Syukor Khamis - Kampong Boy

KUALA LUMPUR – Gambar ‘Mowgli Malaysia’ atau Mohd. Syukor Khamis, 14, bersama kerbau peliharaannya terus melakar sejarah apabila terpilih dipamerkan di galeri di Rome, Itali serta beberapa negara sekitar Eropah tidak lama lagi.

Berita gembira itu dikongsi jurugambar Nazri Sulaiman menerusi Facebook miliknya semalam.

Nazri memberitahu dia tidak menyangka gambar adik Syukor terpilih untuk dipamerkan di galeri penuh berprestij 25 September ini.

“Alhamdulillah, gambar saya terpilih untuk dipamerkan di galeri di Rome, Italy dan beberapa negara sekitar Eropah.

“Adik Syukor Khamis Kampong Boy sampai Eropah gambar mu ni. Kebanggaan Terengganu dan kebanggaan Malaysia. Alhamdulillah,” katanya.

Mohd. Nazri turut memuat naik kenyataan pihak perganjur serta hasil gambar memaparkan adik Syukor.

Sementara itu, kejayaan dikecapi jurufoto itu bukanlah kali pertama yang membabitkan Syukor.

Gambar Mohd. Nazri sebelum ini pernah merangkul anugerah Street/People Photographer of The Year Asian Geographic – Image of Asia 2018 dan Remarkable Award di Siena International Photography Award 2018, Italy.

Sebelum ini, Syukor pernah muncul dalam telefilem berjudul Budok Kuba yang disiarkan menerusi slot Citra Exclusive di Astro Citra.

Budok Kuba terbitan Arie Zaharie Production merupakan telemovie pertama yang menyaksikan kemunculan Syukor sebagai pelakon utama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast