KOTA BHARU – Semua penceramah terutama dari luar negara dinasihat supaya lebih memahami keadaan negara ini yang makmur sejak sekian lama dengan rakyat berbilang kaumnya yang hidup aman ketika memberikan ceramah mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, jika tidak mereka perlu bertanggungjawab jika berlakunya masalah perselisihan pendapat yang boleh mengeruhkan suasana perpaduan yang tidak harmoni disebabkan ceramah mereka.
“Kemungkinan pendekatan mereka tidak sesuai dengan pendekatan rakyat Malaysia. Setiap orang luar kena hormat apa yang ada di negara kita kerana kita sudah bina kemakmuran ini sebelum merdeka dan selepas itu…banyak ujian sudah kita hadapi.
“Saya tidak tuju kepada sesiapa tetapi orang Islam atau bukan Islam kena jaga perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok di sini, Sabtu malam.
Beliau berkata demikian mengulas kontroversi yang dicetuskan oleh isu penceramah Dr Zakir Naik terhadap masyarakat bukan Islam di negara ini.
Polis juga dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap pendakwah itu di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh mengancam keamananj dan Mujahid meminta semua pihak agar tidak mengganggu siasatan polis. – Bernama