Dr.Zakir Naik
Dr. Zakir Naik

SERI ISKANDAR – Kerajaan Negeri Perak tidak menghalang mana-mana penceramah bebas termasuk Dr Zakir Naik untuk menjalankan aktiviti di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, bagaimanapun pihaknya perlu meneliti setiap permohonan program yang diadakan bagi memastikan tujuannya tidak menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.

“Setakat ini tiada sebarang permohonan untuk membawa Dr Zakir ke Perak jadi tidak timbul soal Perak membenarkan atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Amanah Kawasan Parit di Seri Iskandar hari ini yang disempurnakan Timbalan Presiden Parti Amanah (Amanah) Datuk Salahuddin Ayub.

Asmuni yang juga Pengerusi Amanah Perak berkata, pihaknya akan hanya menentukan kelulusan kebenaran sekiranya terdapat permohonan penceramah bebas itu di negeri ini.

“Kalau ada kita kena lihat siapa yang memohon dan apa tujuannya bukan sahaja membabitkan Dr Zakir tetapi mana-mana pihak dengan mengambil kira lokasi program sama ada di masjid atau tempat awam,” katanya.

Jumaat lepas, Dr Zakir memberi keterangan polis di Ibu Pejabat PDRM, Bukit Aman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana menghina dan menggugat ketenteraman awam susulan beberapa kenyataan kontroversi.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Amanah berpegang pada perjanjian bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Keputusan itu sudah termaktub dalam perjanjian awal Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan Anwar sebagai pengganti selepas itu,” katanya.

Salahuddin berkata, penjelasan itu dibuat selepas banyak pihak terutama di peringkat pimpinan yang mahu Amanah mengemukakan pendirian tentang perkara itu.

“Kita menerima Tun Dr Mahathir ketika itu sebagai pengerusi PH maka kita bersama-sama secara konsensus telah menulis perjanjian itu bahawa Perdana Menteri ketujuh adalah Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri kelapan adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tidak timbul masalah hendak fikir kembali atau membuat cadangan baharu. Perjanjian itu masih kekal dan Amanah akan pastikan kita masih berpegang lagi kepada perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun Salahuddin berkata, tempoh peralihan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar tidak dibincangkan secara spesifik dalam perjanjian itu yang disaksikan pimpinan tertinggi dalam Bersatu, Amanah, PKR dan DAP.  – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast