ENGLAND – Ashley Cole mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak semalam.
Legenda Chelsea berusia 38 tahun itu yang juga pernah beraksi untuk England mengumumkan keputusan itu menerusi SkySports petang Ahad.
Cole merupakan produk akademik Arsenal sebelum berhijrah secara kontroversi ke Stamford Bridge pada tahun 2006.
Dia menghabiskan penghujung kariernya bersama AS Roma di Serie A Itali, LA Galaxy dan Derby pada penghujung musim lalu.
Kini Cole mahu memberi fokus terhadap kejurulatihan pada masa hadapan.
“Saya telah membuat keputusan menggantung boot selepas berfikir masak. Saya harap meneruskan kariernya dalam kejurulatihan dan sedang menghadiri kursus berkaitan,” katanya.
Dia juga menyatakan sedikit kekecewaan kerana tidak dapat berpeluang melangkah ke separuh akhir atau perlawanan akhir Piala Dunia bersama England walaupun sudah beraksi sebanyak 100 kali.
Kini Cole merupakan pengulas sukan aksi Liga Perdana Inggeris melibatkan Sheffield United vs Crystal Palace dan Chelsea bertemu Leicester City semalam.
Sepanjang kariernya dalam EPL, dia melakukan 697 penampilan dan menang 13 kejuaraan termasuk EPL dan Liga Juara-Juara Eropah.- MalaysiaGazette